Akhirnya Mujahid Buka Mulut Dan Ini Apa Sebenar Yang Dia Cakap Tetapi Ditafsirkan Berbeza

Rakaman Video Dari TV AlHijrah

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menafikan ada mengeluarkan kenyataan mahu menghentikan ‘ketukan pintu pada waktu malam’ bagi menyiasat atau melaksanakan operasi khalwat dan maksiat lain.

Katanya, laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini yang memetik beliau berkata demikian, adalah tidak keluar daripada mulutnya dan ia ditambah sendiri media berkenaan.

“Saya tidak pernah menyebut isu, kononnya dihentikan pada waktu malam, tidak diketuk pintu. Itu semua adalah tambahan daripada editor yang membuat rumusan mereka sendiri daripada kenyataan saya.

“Saya hanya bercakap tentang isu kesalahan ruang awam dengan ruang peribadi, dan juga mengenai salah guna kuasa serta pencerobohan di ruang peribadi yang tidak menggambarkan kaedah dan cara Islam.

“Jika ada kebimbangan dan sebagainya, barulah boleh diambil tindakan, itu pun dengan kaedah yang mematuhi undang-undang,” katanya seperti dilaporkan oleh berita TV Alhijrah, sebentar tadi.

Sebelum ini, akhbar berkenaan melaporkan Mujahid berkata, pihak berkuasa agama tidak akan lagi mengetuk dan memecahkan pintu pada waktu malam bagi menyiasat atau melaksanakan operasi khalwat dan aktiviti maksiat lain.

Laporan itu menimbulkan polemik dengan pelbagai pihak, termasuk mufti, badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli politik tampil menyokong serta menentang kenyataan Mujahid itu.

Berita TV Alhijrah turut memetik Mujahid sebagai berkata, pelbagai pihak perlu berhenti memanipulasikan kenyataannya, seolah-olah beliau menyokong perlakuan maksiat.

“Dosa tetap dosa walaupun secara awam atau senyap-senyap, bezanya ialah atas konteks penguatkuasaan kerajaan, kita hanya utamakan penguatkuasaan yang boleh ‘menceroboh’ ketenteraman awam.

“Soal dosa peribadi, ia tetap berdosa, cuma dalam soal kerajaan, kita tidak akan campur tangan dan serahkan kepada Allah,” katanya.

Sementara itu, dalam laporan berasingan, Mujahid berkata beliau akan memberi penjelasan lanjut berhubung perkara itu pada Isnin ini.  SUMBER : BHARIAN ONLINE

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*