India Membina Tugu Patung Yang 2 Kali Ganda Lebih Besar Dari Statue Of Liberty New York Tetapi Ada Beberapa Halangan Yang Berlaku




KEVADIA: India pada Rabu merasmikan tugu patung tertinggi di dunia yang ukurannya hampir dua kali ganda berbanding monumen Statue of Liberty di New York.

Patung figura wira kemerdekaan India, Vallabhbhai Patel, bernilai AS$400 juta itu setinggi 182 meter dan diperbuat daripada keluli dan gangsa. Ia berdiri megah di negeri Gujarat yang juga merupakan tempat asal Perdana Menteri Narendra Modi.

Pembinaan tugu patung itu disifatkan sebagai antara usaha parti nasionalis Modi, Parti Bharatiya Janata (BJP) untuk menjenamakan semula ‘para pemimpin yang dilupakan’.

“Patel mahukan India yang teguh, kuat, peka dan berwaspada. Kita sedang menuju ke arah itu,” ujar Modi dalam satu upacara pelancaran pada Rabu.

India rasmikan tugu patung paling tinggi di dunia

Modi, yang mengarahkan pembinaan tugu patung itu di Sungai Narmada ketika dia berkhidmat sebagai Ketua Menteri Gujerat, pada tahun lalu berkata terdapat usaha untuk ‘memperkecilkan’ atau ‘melenyapkan’ sejarah Patel.

Tambahnya, Patel harus diingati sebagai tokoh yang menyatukan 562 negeri asal di India.

Pembinaan tugu patung Patel yang berpakaian tradisional itu mengambil masa selama 33 bulan dan menelan belanja besar dari dana kerajaan pusat, syarikat-syarikat milik negara dan beberapa institusi lain.

Sebanyak 210,000 meter kubik simen, 25,000 tan keluli dan 1,700 tan gangsa dihabiskan untuk membina tugu tersebut.

Modi dan BJP berkata, pembinaan tugu Patel itu adalah alternatif kepada tokoh-tokoh yang selama ini ‘diagungkan’ dari keluarga Nehru-Gandhi.

MENDAPAT TENTANGAN HEBAT

Pembinaan tugu itu bagaimanapun menerima kritikan dari beberapa pihak yang mempertikaikan tentang cara pengambilan tanah untuk dijadikan tapak monumen itu, serta kewajaran menghabiskan perbelanjaan yang tinggi.

Sementara itu, Parti Kongres, yang lama memerintah India sepanjang sejarah kemerdekaan negara itu mendakwa ‘meraikan’ Patel sebegitu seolah-olah mempermainkan sejarah.

Kongres kini diketuai oleh Rahul Gandhi, cicit Perdana Menteri pertama India, Jawaharlal Nehru.

Dalam Twitternya, Gandhi berkata: “Adalah suatu yang ironi, bahawa tugu patung Patel dirasmikan, sementara setiap institusi yang pernah dibangunkannya sudah lenyap.”

SUMBER : Astro Awani




Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*