Allahyarham Hafiz Menyimpan Kesemua Wang Kemenangan Untuk Membawa Orang Tuanya Ke Sini Tetapi Hajat Tidak Kesampaian

Ini last ‘race’ aku – Mohd. Hafiz

POH 16 Dis. – “Ini last race aku”.

Itu ungkapan yang berulang kali disebut pelumba Cub Prix, Mohd. Hafiz Nor Azman, 22, kepada rakan-rakannya sebelum menyertai perlumbaan pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Bandar Penawar di Johor hari ini.

Pada perlumbaan tersebut, Mohd. Hafiz yang merupakan pelumba Cub Prix daripada Petronas Sprinta-Yamaha CKJ Racing kategori CP150 ma ut selepas terbabit dalam kemalangan pada perlumbaan itu petang tadi.

Menurut Nurhan Md. Nayan, 22, Mohd. Hafiz yang ditemuinya semasa menghadiri majlis kenduri minggu lalu berulang kali menyebut perlumbaan yang disertainya hari ini adalah perlumbaannya yang terakhir.

Katanya, Mohd. Hafiz juga ada memberitahu yang dia akan melakukan yang terbaik pada perlumbaan itu untuk mendapatkan kedudukan ketiga keseluruhan CP150.

“Banyak kali dia sebut yang ini last race dia. Dia nak buat yang terbaik dan tidak sangka yang ini betul-betul perlumbaan terakhir dia. Kami terkejut sangat dan tidak sangka dia dah tiada,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga Mohd. Hafiz di Kampung Serdang Permai, Kampung Kepayang di Simpang Pulai di sini hari ini.

Sementara itu, kakak sulung Mohd. Hafiz, Nor Shaziela, 30, berkata, dia terkilan apabila hajat anak ketiga daripada empat beradik itu untuk membawa kedua ibu bapa mereka mengerjakan umrah tidak kesampaian.

Katanya, dia yang akan turut sama menyertai Mohd. Hafiz telah menyediakan kesemua kelengkapan dan mereka dijangka bertolak mengerjakan ibadah tersebut pada 27 Januari depan.

“Dia memang berhajat bawa mak dan abah ke umrah, dia memang beritahu awal-awal kepada kami. Semua persiapan telah siap dan tak sangka hajat dia tak sampai.

“Semasa kejadian, saya menonton perlumbaan tersebut dan fikir dia tidak apa-apa sebab nampak dia bangun selepas terjatuh. Emak pun beritahu Hafiz selamat,” katanya.

Menurut Nor Shaziela, dia bagaimanapun terkejut apabila ibunya menghubungi semula dan memberitahu adiknya itu telah tiada.

“Emak cakap, mereka pergi ke sana (Johor) bertiga (bersama ayah), tidak sangka balik semula ke sini (Ipoh) berdua,” katanya yang memberitahu jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kepayang esok.-(Sumber : UTUSAN ONLINE)

‘Dia simpan duit kemenangan untuk kami tunai umrah’

“DIA simpan semua duit kemenangan dan berhajat nak membawa saya, mak dan kakaknya menunaikan umrah, saya cakap kat dia biarlah dia pergi dulu, ada rezeki saya pergi kemudian, tetapi dia tetap nak bawa saya dan maknya juga. Itu yang saya terkilan sangat,” kata Nor Azman Mad Darus, 54.

Nor Azman berkata, Allahyarham anaknya Mohd Hafiz, 22, adalah seorang yang sangat baik terhadap kedua-dua ibu bapa dan sudah mula menyertai perlumbaan Cub Prix sejak 2010 serta merancang membawa keluarga menunaikan umrah pada Januari depan.

Katanya, sejak mula berlumba hinggalah kepada insiden yang berlaku semalam, dia dan isterinya, Rohana Hamzah, 52, sentiasa menemani dan memberikan sokongan kepadanya.

“Hafiz sangat rapat dengan maknya, bahkan pada malam sebelum perlumbaan dia tidur bersama maknya.

“Sehingga hari ini maknya masih lagi bersedih dengan insiden yang menimpa Hafiz,” katanya yang ditemui di kediamannya di Kampung Serdang Permai, Simpang Pulai di Ipoh hari ini.

Allahyarham Hafiz, meniinggal dunia selepas terbabit kemalangan ketika pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2018 di Dataran Bandar Penawar, Johor kira-kira jam 4 petang semalam.

Nor Azman berkata, pihaknya menyerahkan segala siasatan berhubung insiden itu kepada pihak penganjur untuk melihat bagaimana perkembangannya.

“Adakah litar itu selamat atau tidak? Harap pihak lain turut lihat perkara sama takut benda (insiden) ini berulang lagi.

“Harap pihak yang berkenaan juga tolong tengok dan lihat bila ada perlumbaan terutama membabitkan ciri-ciri keselamatan, kerana semalam saya lihat kurang sikit,” katanya.

Ditanya bagaimana keadaan anaknya selepas insiden itu, Nor Azman berkata tidak dapat melihat dengan dekat keadaan Hafiz tetapi dimaklumkan keadaannya adalah kritikal sejurus selepas kemalangan berlaku.

Jenazah Hafiz akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Serdang Permai selepas disembahyangkan di Masjid Saidina Umar Al Khattab, kampung berkenaan sebelum solat Zohor hari ini.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*