Jumlah Perubatan Ayah Dia Makin Naik Dan Sekarang Insurans Pula Buat Hal




KUALA LUMPUR: Hasrat Sahrom Ahmad, 59, untuk meraikan kejayaan anaknya, Nur Amalina Sahrom menerima Ijazah Sarjana pada majlis graduasi di United Kingdom (UK) 12 Disember lalu tidak kesampaian apabila dia diserang strok sebaik saja tiba di negara itu.

Beliau turut mengalami pendarahan otak dan terpaksa menjalani pembedahan di Hospital Charing Cross, London untuk menyelamatkan nyawanya.

Nur Amalina berkata, bapanya sekarang boleh buka mata dan menggerakkan tangan namun keadaannya lemah.

Katanya, dia menjaga Sahrom sejak bapanya dimasukkan ke hospital sementara menunggu ibunya, Almah Semail bersama ibu saudara dan adiknya tiba dari Pulau Pinang.

“Kalau sebelum ini saya seorang saja jaga bapa, mujur ahli keluarga lain tiba minggu lalu. Jadi sekarang kami sudah boleh bergilir-gilir. Saya tak pasti sama ada bapa sedar atau tidak.

“Bapa terbaring kerana masalah kesihatannya turut membabitkan otak yang mungkin tidak dapat berfungsi seperti biasa,” katanya.

Menurutnya, selepas tiga minggu dirawat keadaan bapanya semakin stabil dan pihak hospital membenarkan keluarga membawa Sahrom pulang ke Malaysia.

Namun usaha Nur Amalina terbantut berikutan kerenah birokrasi daripada syarikat insurans di Malaysia.

“Urusan tertangguh berikutan masalah polisi insurans bapanya ambil di Malaysia. Bapa beli pelan insurans perjalanan VIP membolehkan dia menebus bayaran balik insurans perubatan sehingga RM300,000 dan repatriation (bawa balik) pada nilai sepadan.

“Polisi insurans pelancongan itu hanya menanggung kos perubatan hingga RM300,000 saja dan sekarang ia meningkat kepada RM366,000. Semakin lama bapa di hospital, kos akan terus meningkat.

“Pihak hospital anggarkan kos untuk bawa bapa pulang adalah RM300,000 membabitkan paramedik, katil dan kelengkapan perubatan,” katanya.

Jelasnya, sebelum ini dia cuba menguruskan sendiri perkara itu namun pihak hospital enggan membenarkan Sahrom keluar selepas mengetahui dia memiliki polisi insurans.

Berikutan itu Nur Amalina, terpaksa berurusan sendiri dengan syarikat insurans berkenaan dan berdepan pelbagai kerenah.

“Pihak hospital memang mahu membantu mempercepatkan urusan kami. Kakitangan sangat baik dan memberikan sokongan kepada kami, tapi syarikat insurans pula macam melengah-lengahkan,” katanya.

Dia memberitahu, masalah menimpa bapanya turut mendapat perhatian pejabat kedutaan Malaysia di London dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Mereka akan menghubungi syarikat insurans berkenaan untuk mempercepatkan urusan. Apabila kita berada di luar negara, sukar untuk mendapat wang tunai dengan cepat.

“Saya harap ada pihak yang sudi untuk bantu kami bawa bapa pulang dan menerima rawatan lanjut di Malaysia,” katanya.

Mengikut perancangan Nur Amalina sepatutnya menerima ijazah sarjananya pada 17 Disember lalu namun masalah kesihatan menimpa bapanya menyebabkan dia tidak menghadiri majlis graduasi.

Kakitangan TNB itu menerima Ijazah Sarjana (Sains) Pengurusan Antarabangsa dari Universiti Loughborough.

Sumber Artikel: Hmetro Online




Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*