Banyak Kes Sesat Dalam Hutan Walaupun Sudah Pernah Masuk Hutan Sama. Ini Pantang Larang Yang Patut Ikut Tetapi Ramai Langgar




ADA di antara rakan-rakan yang tiba-tiba berasa seram sejuk apabila diajak masuk ke hutan, khususnya dalam kalangan mereka yang tidak pernah menjelajah hutan.

Mereka bukan saja akan menjadi gelabah, malah seram sejuk apabila diarah masuk ke hutan untuk tujuan tertentu seperti latihan bina semangat atau menyertai lawatan anjuran badan tertentu.

Pada masa sama terdapat kumpulan yang aktif dengan beberapa aktiviti outdoor atau lasak seperti meredah hutan, mendaki bukit atau gunung, meredah anak sungai atau pergi ke tempat air terjun di tengah hutan.

Baru-baru ini seorang rakan bertanya penulis mengenai apakah petua dan pantang larang yang perlu kita ketahui sebelum masuk hutan.

Penulis menemubual Abdul Wahab Daud, 71, anggota Kelab Orang Gunung Kuala Lumpur (OKGKL) untuk berkongsi petua mengenai sikap dan etika kita apabila berada dalam hutan.

Walaupun dianggap mistik dan mungkin mengarut, tetapi petua masuk hutan itu seharusnya tidak boleh dipandang ringan.

Beliau yang berpengalaman luas dan masuk ke hutan sejak berusia belasan tahun berkata, sesiapa saja yang berhajat untuk masuk ke rimba perlu membuat beberapa persiapan dengan bertanya mereka yang biasa dengan aktiviti lasak ini.

Katanya, setiap pengembara lasak perlu menyenaraikan barang yang perlu dibawa mengikut jumlah hari berada di dalam hutan.

“Jangan malu bertanya, terutama bagi mereka yang tidak pernah masuk ke hutan, walaupun pun trip masuk ke hutan pergi pagi, balik petang.

“Ada sesetengah orang memberitahu, jangan lupa membawa parang, garam dan mancis apabila masuk ke hutan. Parang boleh digunakan sebagai senjata atau kelengkapan untuk mencari makanan dan membuat perlindungan, garam pula sebagai sumber iodin manakala mancis diperlukan untuk menyalakan api dan memasak,” katanya.

Sesat akibat terlalu seronok

ABDUL Wahab memberikan taklimat sebelum melakukan aktiviti menjelajah hutan.

Abdul Wahab yang lebih dikenali sebagai Abah, berkata ada juga yang akan memberitahu setiap kali masuk ke hutan perlu bawa beg tidur, katil lipat serta khemah.

Abah berkata, biarpun tiada manusia yang dilihat di dalam hutan, namun kita harus menghormati hutan, dan tidak boleh celupar, berteriak tidak tentu pasal atau ketawa berlebihan.

Katanya, kegagalan berbuat demikian ada ketikanya boleh menyebabkan kita tidak menemui jalan pulang cuma berpusing di laluan yang sama untuk beberapa jam.

“Saya pernah tersesat ketika memasuki hutan di Pahang, sewaktu menyertai sekumpulan peserta pencinta alam berkhemah di sana, puncanya apabila salah seorang daripada mereka berteriak kerana terlalu seronok.

“Dalam perjalanan pulang, kami berpusing di laluan yang sama, lebih tiga jam, dan setelah saya menyedari perkara itu, kami berhenti rehat sekejap dan mencari kaedah untuk mendapat petunjuk dan berjaya keluar” katanya.

Jangan bergurau sembarangan

RENJER Perbadanan Taman Negeri Perak, Mohd Yusri Abdullah Sani.

Renjer Perbadanan Taman Negeri Perak Mohd Yusri Abdullah Sani memberitahu jangan menyebut perkara yang negatif, seperti ‘Aku takut la’; ‘Nanti kita sesat’; ‘Penatnya’; ‘Jauh lagi ke’ dan macam-macam lagi.

Beliau berkata, semua perkataan ini sekiranya kerap difikir dan diucapkan akan mengganggu mental sekali gus menyebabkan akan berasa seperti apa yang disebutkan.

Katanya, ketika sedang berjalan dalam hutan sama ada baru masuk atau pulang, kita tidak boleh memanggil nama kawan kerana dikhuatiri ada makhluk lain akan menyahut ataupun memanggil nama kawan kita.

“Ini yang biasanya menjadi punca seseorang itu sesat sampai berhari-hari di dalam hutan.

“Satu lagi pantang larang ialah jangan buang air sesuka hati dan meludah merata tempat.

“Antara tempat yang tak boleh buang air sesuka hati seperti lopak air, dalam lubang, pertengahan jalan hutan dan kawasan bersih yang terdapat dalam hutan kerana di situ biasanya menjadi tempat makhluk lain bermain atau tinggal,” katanya.
Elakkan sebut binatang buas

MOHD Yusri Abdullah Sani memberikan penerangan kepada peserta ketika melakukan aktiviti menjelajah Hutan Sungai Papan. 

Mohd Yusri berkata, ketika bermalam di dalam hutan elak menyuluh lampu ke muka untuk mengejutkan kawan, walaupun bertujuan bergurau semata-mata.

Selain itu katanya, elakkan daripada meniru mimik muka pelik untuk menakutkan kawan kerana makhluk yang berada dalam hutan akan marah kerana kita seolah-olah memperli atau ‘mengejek’ rupa mereka.

Beliau yang bertugas di Hutan Royal Belum, Gerik, Perak, berkata apabila sudah berada di dalam hutan, sebaik-baiknya jangan menyebut nama binatang buas dan beracun.

“Sebaliknya, gunakan kod seperti Maybank untuk harimau, tali pinggang untuk ular, kereta api untuk lipan, kereta kebal (kala jengking) dan lain-lain lagi.

“Apa yang dikhuatiri binatang itu tiba-tiba akan muncul selepas namanya disebut,” katanya.

Mohd Yusri juga berkata sekiranya terjumpa benda atau perkara pelik seperti bunga cantik, batu

berwarna-warni dan berkilau, pokok aneh dan macam-macam lagi, jangan diambil dan bawa balik.

Katanya, semua benda itu mungkin milik makhluk yang tinggal di dalam hutan itu. Apa yang ditakuti mereka akan marah kerana kita dikira mencuri barang mereka.

“Jika lalu di kawasan yang terdapat akar yang berbentuk buaian, jangan sekali-kali duduk dan bermain di situ kerana ia mungkin tempat mainan makhluk yang kita tidak nampak. Hormati dan lalu ke tepi saja,” katanya.

Sumber Artikel : BHARIAN ONLINE




Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*