Ibu Aliff Aziz Dan Alif Satar Jadi Mangsa Serangan ‘Makcik Bawang’ Yang Tidak Berakal




Kontroversi tindakan Aliff Aziz memukul isteri yang masih berpantang turut memberi tempias terhadap ibunya, S Hafiza Basharahil apabila menjadi tempat segelintir netizen melepaskan geram.

Rata-rata mengirimkan komen meminta beliau menasihatkan anak sulungnya supaya jangan mengasari wanita lebih-lebih lagi ibu yang baharu 20 hari melahirkan bayi.

Antara isu lain yang dibangkitkan netizen juga adalah sikap curang Aliff, perbuatan memukul isteri yang masih berpantang selain mengungkit perkara tidak sepatutnya hingga terlihat seakan cuba menyalahkan didikan keluarga hingga dia bersikap sedemikian.

Bagaimanapun, masih ramai pengikut laman sosial yang menyelar tindakan menyerang Instagram ibu kepada tiga anak itu yang disifatkan melampau batas.

Mereka yang menyelar perbuatan itu berharap orang ramai tidak menyalahkan ibu atau keluarganya kerana itu adalah kesalahan sendirinya sendiri.

Pada masa sama, kes berkenaan turut mengheret nama seorang lagi selebriti yang mempunyai nama sama dengannya iaitu Alif Satar.

Menerusi muat naik status di laman sosialnya, beliau menegaskan dirinya bukan penyanyi Aliff Aziz kerana masih ada peminat yang keliru dengan namanya.

Kontroversi kasari isteri ditambah isu berpegang tangan dengan adik seorang pelakon semakin memanaskan lagi konstroversi membabitkan penyanyi kelahiran Singapura itu.

“Mereka di luar perlu membezakan Alif Satar dan Aliff Aziz. Kami berdua individu yang berlainan. Cuma mempunyai persamaan pada nama saja.

“Saya tidak mahu mengulas soal insiden itu sebaliknya sekadar memuat naik status di Insta Story sebelum ini supaya tidak ada pihak yang terkeliru,” katanya.

Isu yang menjadi buah mulut orang sejak minggu lalu itu menemui jalan penyelesaian apabila Aliff dan Bella dikatakan sudah berbaik semula malah mengadakan sidang media bersama, petang ini.

Terdahulu, Aliff, 26, dikatakan mengasari isterinya, Bella Astillah, 23, di sebuah pusat karaoke pada Khamis lalu dan keesokan harinya polis menahan Aliff untuk siasatan selepas laporan dibuat.

Bagaimanapun, Aliff dibebaskan pada Sabtu lalu. Bella yang mengalami kecederaan hingga dimasukkan ke hospital memaklumkan masih sayangkan suaminya.

Pasangan yang mendirikan perkahwinan pada September tahun lalu itu baharu menimang cahaya mata pertama, Mohamad Ayden Adrean yang dilahirkan pada 8 Julai.




Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*