Pengantin Dibuli Ketika Akad Nikah. Ini Teguran Padu Mufti Perlis Kepada Tok Kadi Yang Suka Buat Macam Itu




Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegur tindakan sesetengah kadi yang dilihat ‘membu li’ pengantin sehingga terpaksa melafazkan ijab dan kabul berulang kali.

Menurutnya, urusan akad nikah sepatutnya dilakukan dengan mudah dan hanya memadai sekiranya pengantin lelaki menjawab dengan ringkas seperti ‘saya terima, atau saya bersetuju’, ‘saya terima nikahnya’ atau ‘saya bersetuju bernikah dengannya’.

“Apa-apa sahaja lafaz yang membawa maksud tujuan tersebut maka ia sah. Jika bapa bakal isteri menyebut saya nikahkan saudara dengan anak saya Fatimah, lalu bakal suami menjawab “saya terima, atau saya bersetuju” atau ditambah “saya terima nikahnya” atau “saya bersetuju bernikah dengannya”.

“Seperti yang diminta oleh sesetengah sarjana dalam Mazhab al-Syafi‘i, maka sahlah ijab dan kabul tersebut. Tidak disyaratkan mesti satu nafas atau dua nafas atau berjabat tangan atau menyusun ayat dalam bahasa sanskrit lama atau ayat tok kadi yang digunakan sebelum merdeka,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Jelas beliau, jika jawapan yang diberikan ringkas dan jelas kadi atau jurunikah tidak perlu bertanya kepada saksi sama ada ada pengantin perlu mengulangi akad nikah tersebut atau tidak.

“Mengapa pula ada kadi yang sengaja bertanya kepada hadirin “Perlu ulang ke?” Lalu mereka pun dengan sukanya menyebut beramai-ramai ‘Sekali lagi!, Sekali lagi! Ini adalah permainan bu li yang cuba dicampur aduk dengan hukum syarak.

“Situasi itu menggambarkan bahawa akad itu begitu sulit dan susah sehingga seseorang menjadi terketar-ketar untuk menyebutnya. Diatur ayat lafaz akad itu dengan begitu skema sehingga pengantin kesejukan untuk menghafalnya,” katanya.

Mohd Asri yang juga dikenali sebagai Dr. Maza berkata, proses ijab dan kabul adalah lafaz yang perlu difahami oleh kedua belah pihak dan dua saksi yang menjelaskan tentang persetujuan antara kedua pasangan terbabit untuk berkahwin.

“Apabila proses itu berlaku maka ia sah. Tidak pernah ada dalil yang menyatakan mestilah satu nafas, atau tidak terpu tus nafas seperti diada-adakan oleh sesetengah pihak.

“Paling tinggi yang boleh kita kata adalah tidak boleh ada ruang yang menyebabkan salah satu pihak mengelirukan atau dikelirukan dalam menyatakan persetujuan nikah. Lihat petikan Sayyid Sabiq, Fiqh al-Sunnah, 2/355,” katanya.

Sumber : Sinar Harian




Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*