Ieda Moin Menjelaskan Kenapa Perkahwinan Dia Bersama Mohd Amril Gulkhan Dirahsiakan




“YA, benar saya dan Amril sudah bernikah pada 12 April lalu. Saya ingin memohon maaf kerana tidak menghebahkan perkhabaran gembira ini kepada semua,” kata penyanyi, pelakon dan pelawak Ieda Moin mengulas perkahwinannya buat kali kedua.

Desas-desus perkahwinan mereka mula dihidu media apabila pelakon Nazia Mustafar mengucapkan tahniah kepada pasangan itu di segmen cerita Instagramnya tetapi menutup muka pengantin perempuan.

Ieda atau nama sebenarnya Siti Haida Abdul Moin, 40, berkata, majlis akad nikah berlangsung pada jam 10 pagi di Masjid Ar Rahimah Kampung Pandan dengan dihadiri keluarga terdekat kedua pihak serta kawan-kawan rapat.

“Urusan selebihnya bapa saya yang buat. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar.

“Tiada hantaran mewah yang saya pinta daripada suami melainkan mas kahwin termasuk sepasang cincin untuk acara batal air sembahyang dan sepasang telekung serta sejadah.

“Rakan artis yang hadir ke majlis kami ialah Nazia Mustafar dan Azza Elite,” katanya dalam pengakuan secara eksklusif kepada Harian Metro.

Menurut Ieda lagi, pelakon Erra Fazira mengetahui perkara itu tetapi tidak dapat hadir kerana berada di Singapura pada tarikh perkahwinan mereka berlangsung.

“Sahabat karib saya, Nurkhiriah juga tak dapat hadir tapi saya buat panggilan video ketika doa selamat dibacakan, membuatkan dia teresak-esak kerana terlalu gembira saya akhirnya bernikah,” katanya.

Ieda mengakui perkahwinan ini dirancang dalam masa yang singkat membuatkannya tidak dapat menjemput banyak pihak.

“Selain itu, perasaan rendah diri juga membuatkan saya segan menjemput ramai orang.

“Saya sedar saya bukanlah popular atau terkenal seperti artis lain.

“Diharapkan tiada mana-mana pihak terasa hati dengan tindakan saya,” katanya.

Ieda berkata, Am atau Mohd Amril Gulkhan Abdul Rahman, 36, berjaya mencuri perhatiannya dan memiliki ciri-ciri lelaki sejati.

“Dia lelaki terbaik yang pernah saya jumpa.

“Am bukan sahaja menyayangi saya tetapi turut terima anak saya seperti anak sendiri.

“Setakat ini kami belum ada tarikh untuk berbulan madu kerana jadual lakonan saya terlalu padat,” katanya.

Ini adalah perkahwinan pertama buat Amril, manakala Ieda sebelum ini pernah berkahwin dengan Mohamad Naquib Idris pada 4 November 2006 namun bercerai talak satu pada 18 Disember 2014.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan anak perempuan, Nur Dhia Dania, 11.




Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*