Ini Respon Naqiu Boboy Bila Kena Duet Lagu Gurauan Berkasih Dengan Siti Nordiana

Wan Naqiuddin Mohd Najib atau nama komersialnya, Naqiu memberikan reaksi terhadap lagu yang bakal dipersembahkannya dalam Gegar Vaganza 6 (GV6) minggu hadapan.

Bersempena dengan tema duet, vokalis kumpulan Boboy itu bakal berpadu suara sama juara GV musim kedua, Siti Nordiana untuk lagu Gurauan Berkasih.

Single yang hits sekitar tahun 1999 itu merupakan antara lagu duet popular penyanyi wanita berkenaan bersama Allahyarham Achik Spin.

“Lagu nyanyian asal Siti Nordiana dan Achik Spin. Arwah Achik merupakan kawan baik dan arwah seorang yang suka bergurau dengan saya.

“Lagu itu adalah sebuah lagu yang besar,” katanya kepada MH.

Tidak mahu dibayangi penyanyi asal meski dirinya bakal berduet dengan Siti Nordiana menerusi lagu tersebut, bintang berusia 33 tahun itu ada alasan tersendiri.

“Sama seperti sebelum ini, saya sampaikan lagu Meraung (nyanyian asal Newboyz), zaman saya.

“Jadi, saya perlu nyanyi dengan cara tersendiri. Suara saya pun bukannya macam dulu lagi.

“Satu cabaran, apatah lagi bila perlu berduet dengan Nana. Dia kini punya nama yang besar. Bekas juara GV lagi ,” jelas Naqiu.

Naqiu menduduki kedudukan teratas di kalangan peserta lain menerusi saingan minggu ketiga, semalam yang sekali gus menyaksikan Ameer Sofazr sebagai peserta tersingkir.

GV musim terbaru menampilkan seorang lagi juri tetap iaitu Hetty Koes Endang selain Datuk Ramli MS sebagai ketua juri dan minggu ini, pereka fesyen, Datuk Rizalman Ibrahim diundang sebagai juri jemputan.

Terdahulu, bintang veteran Zaiton Sameon menerima sumbangan sebanyak RM10,000 daripada pihak penaja iaitu Farm Fresh dan Astro, Bintang Cuckoo Paling Gempak minggu ini menjadi milik Naqiu serta Anugerah Bintang Cili Padi pula dimenangi Nurfatima.

GV6 disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam, Selangor.

kredit : kami

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*