Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke Belgium mencetuskan perkembangan positif bagi industri minyak sawit Malaysia dengan kejayaan menghidupkan semula rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA) yang tertangguh sejak sekian lama.
Rundingan yang dimulakan pada 2010 itu terhenti pada 2012 selepas tujuh pusingan perbincangan akibat ketidaksepakatan dalam beberapa isu utama, termasuk minyak sawit, dasar pemerolehan, subsidi, dan klausa kelestarian.
Teruskan MembacaKejayaan menggerakkan semula rundingan ini bukan sahaja memberi sinar baharu kepada sektor perdagangan Malaysia tetapi juga membuka peluang untuk memperkukuh hubungan ekonomi dengan Kesatuan Eropah (EU) dalam jangka panjang
Menjelaskan hal itu Duta Besar Malaysia ke Belgium, Luxembourg, dan Kesatuan Eropah (EU), Datuk Mohd Khalid Abassi Abdul Razak, antara halangan terbesar sebelum ini ialah diskriminasi terhadap minyak sawit Malaysia, yang sering dikaitkan dengan isu pembakaran terbuka dan buruh paksa.
“Malaysia telah mengambil langkah proaktif untuk menangani isu ini, termasuk memperkenalkan standard Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO),” katanya dalam laporan Bernama.
Usaha diplomasi perdagangan yang diterajui Anwar sebelum ini telah membawa nafas baharu kepada rundingan MEUFTA, khususnya selepas misi perdagangan dan pelaburan ke Jerman pada Mac tahun lalu.
Sejak itu, import minyak sawit Malaysia ke EU mencatat peningkatan ketara. Menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), jumlah import minyak sawit EU dari Malaysia bagi separuh pertama 2024 meningkat kepada 646,819 tan metrik, berbanding 530,051 tan metrik pada tempoh sama tahun sebelumnya, mencatatkan pertumbuhan sebanyak 22%.