Malaysia kehilangan seorang lagi lagenda bola sepak negara, Rahim Abdullah yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 77 tahun, awal pagi tadi.
Pemergian allahyarham, yang pernah menjadi jurulatih skuad kebangsaan pada tahun 1991, diumumkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan rasmi hari ini.
Teruskan MembacaRahim Abdullah, yang dilahirkan di Nibong Tebal, Pulau Pinang pada tahun 1947, bukan sahaja dikenali sebagai bekas pemain bola sepak kebangsaan tetapi juga seorang pegawai polis yang banyak berjasa dalam bidang sukan negara.
Beliau merupakan antara tonggak skuad kebangsaan yang membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa dalam kejohanan seperti Pestabola Merdeka, Piala Kemerdekaan Vietnam Selatan dan Kejohanan Ulang Tahun Jakarta.
Pencapaian paling bersejarah dalam kariernya adalah ketika beliau mewakili Malaysia di Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman, satu kejayaan besar bagi bola sepak negara ketika itu.
Allahyarham juga berperanan penting dalam pembangunan bola sepak tanah air apabila berkhidmat sebagai jurulatih skuad kebangsaan dan membantu mencungkil bakat baharu yang kemudiannya menyinar dalam arena bola sepak Malaysia.
Selain itu, beliau turut dikenang kerana sumbangannya dalam memperkasakan bola sepak di peringkat akar umbi termasuk membimbing pasukan-pasukan negeri serta pasukan polis dalam kejohanan domestik.
Jenazah allahyarham akan disolatkan di Masjid Bukit Aman sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kota Damansara.