SHAH ALAM – Selepas hampir tiga bulan menunggu, Kerajaan Negeri Selangor akhirnya mendedahkan punca sebenar insiden letupan paip gas berhampiran Taman Putra Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru, Putra Heights pada 1 April lalu.
Hasil siasatan rasmi yang diketuai Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) mendapati faktor alam sekitar bawah tanah menjadi penyebab utama tragedi itu.
Teruskan MembacaMenurut laporan Jawatankuasa Siasatan Letupan Paip Gas, paip berkenaan mengalami pergerakan sebanyak 15.9 sentimeter akibat mendapan tanah sedalam 24.3 sentimeter sejak ia mula beroperasi pada tahun 2000.
“Ada tanda-tanda keletihan (fatigue) dan tekanan berlebihan pada struktur paip. Tanah di kawasan itu memang tepu air, ditambah pula masalah saliran dan cuaca ekstrem,” menurut laporan berkenaan.
Faktor tambahan seperti sistem saliran monsun yang rosak, culvert yang terjejas, serta pertambahan kepadatan penduduk turut menyumbang kepada percepatan kerosakan.
Tiada Unsur Sabotaj – Siasatan PDRM Sahkan
Dalam masa sama, siasatan dari sudut jenayah oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menolak sebarang unsur sabotaj atau kecuaian manusia.
“Ini memang berpunca daripada faktor alam sekitar dan geologi, bukan sebab kecuaian manusia atau jenayah,” kata sumber kerajaan negeri.
Mengulas lanjut, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan laporan ini akan menjadi asas kepada langkah pencegahan masa depan.
“Sebuah Jawatankuasa Khas di bawah Unit Pengurusan Bencana Negeri akan ditubuhkan.
“Kita akan libatkan pakar, termasuk dari Petronas untuk teliti aspek keselamatan, undang-undang, dan prosedur pembangunan kawasan berisiko,” katanya.
Menurut beliau, langkah ini penting bagi mengelak insiden serupa berulang, lebih-lebih lagi di kawasan yang sedang mengalami perubahan geologi jangka panjang seperti Putra Heights.
“Keselamatan rakyat adalah keutamaan,” tegas Amirudin.