WARSAW: Bukan calang-calang! Anak jati Pulau Pinang, Vincent Ong, mencipta sejarah buat Malaysia selepas berjaya meraih tempat kelima dunia dalam Pertandingan Piano Antarabangsa Fryderyk Chopin yang diadakan di Warsaw, Poland.
Teruskan MembacaUntuk makluman, pertandingan ini diadakan setiap lima tahun sekali dan dianggap antara yang paling berprestij di dunia, hanya menampilkan karya legenda muzik klasik, Fryderyk Chopin.
Lebih membanggakan, Vincent, 24, bukan sahaja menjadi rakyat Malaysia pertama mara ke peringkat akhir, malah berjaya menewaskan ratusan peserta hebat dari 28 negara, satu pencapaian luar biasa untuk anak muda tanah air!
Digelar ‘Mount Olympus of the music world’, pentas pertandingan ini bukan sebarangan. Namun, Vincent tampil menyerlah dengan persembahan penuh emosi dan teknik yang halus, membuatkan juri serta penonton terpegun.
Vincent memulakan perjalanan muziknya di Malaysia sebelum melanjutkan pengajian ke Jerman dan berguru dengan maestro antarabangsa. Dedikasi serta kerja kerasnya akhirnya membuahkan hasil.
Kejayaan ini bukan sekadar kemenangan peribadi, tapi juga momen bersejarah untuk Malaysia, membuktikan bahawa bakat tempatan mampu berdiri sama tinggi dengan nama besar dunia.
Syabas Vincent! Inspirasi sebenar buat generasi muda yang mahu kejar impian di pentas antarabangsa!







