KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 23 dan 32 tahun selepas didakwa menghalang tugas anggota keselamatan ketika berlangsungnya himpunan di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat, Jalan Tun Razak, tengah hari semalam.
Teruskan MembacaKejadian sekitar jam 12 tengah hari itu pada awalnya bermula sebagai perhimpunan aman dengan kehadiran lebih 50 orang peserta. Namun, suasana bertukar tegang apabila berlaku cubaan menghalang aliran trafik hingga mencetuskan sedikit kekecohan. Seorang anggota polis turut dilaporkan cedera dalam insiden berkenaan.
Kedua-dua individu yang ditahan kini disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan bahawa hak berhimpun secara aman adalah dijamin Perlembagaan Persekutuan, namun pelaksanaannya perlu tertib, mematuhi undang-undang serta tidak menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.
“KDN menyokong penuh tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengambil langkah tegas demi memastikan keamanan serta keharmonian masyarakat terus terpelihara,” menurut kenyataan kementerian itu.
Insiden ini sekali lagi mengingatkan bahawa ruang demokrasi untuk berhimpun perlu digerakkan secara bertanggungjawab tanpa menjejaskan kepentingan awam, khususnya keselamatan dan kelancaran kehidupan bandar raya.







