KUALA LUMPUR: Semangat solidariti untuk Palestin bakal membara sekali lagi apabila Himpunan Sumud Nusantara: Gelombang Malaysia, Palestin Merdeka dijadual berlangsung esok (8 Oktober) di Axiata Arena, Bukit Jalil bermula jam 6 petang.
Acara ini diadakan khas untuk meraikan kepulangan 23 sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) yang baru pulang ke tanah air selepas berdepan detik mencemaskan apabila ditahan tentera Israel dalam misi kemanusiaan ke Gaza baru-baru ini.
Teruskan MembacaDijangka ribuan rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang akan membanjiri arena tersebut bagi menunjukkan sokongan padu terhadap perjuangan Palestin. Bukan sekadar acara biasa himpunan ini jadi simbol kebersamaan rakyat Malaysia dan rantau Nusantara dalam memperjuangkan hak kemanusiaan sejagat.
Penganjur menjelaskan, perjuangan ini bukan soal agama semata-mata, tapi soal kemanusiaan dan keadilan tentang bagaimana dunia harus bersatu menentang kezaliman terhadap rakyat Gaza yang terus ditekan rejim Israel.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini turut memuji semangat para sukarelawan GSF yang disifatkan sebagai “wira kemanusiaan Malaysia”. Beliau juga menyifatkan usaha mereka sebagai bukti nyata bahawa keberanian dan nilai kemanusiaan tidak mengenal sempadan.
Himpunan esok dijangka penuh dengan laungan solidariti, doa, dan semangat perjuangan satu lagi detik bersejarah untuk Malaysia menunjukkan pendirian teguh terhadap Palestin.







