PETALING JAYA: Pelakon Mimi Lana baru-baru ini tampil meluahkan kekesalan terhadap mana-mana pihak di dalam negara yang dianggapnya menjadi “tali barut Israel”.
Teruskan MembacaMelalui posting di Threads, Mimi atau Mimi Rozaiana Zainal Abidin, 30, berkata tindakan sedemikian adalah pengkhianatan terhadap negara dan maruah bangsa.
“Rakyat Malaysia yang sanggup jadi tali barut Israel adalah pengkhianat sebenar negara dan bodoh! Demi sedikit habuan yang tak seberapa dan tak berkat, kau sanggup korbankan maruah dan tanah air sendiri,” tulisnya.
Menurut Mimi, mereka yang bersikap sedemikian tidak pernah benar-benar menghargai kedamaian dan nikmat hidup di Malaysia. Dia turut mengingatkan bahawa kelakuan pengkhianatan tidak akan kekal tersembunyi selama-lamanya.
“Tak bersyukur betul dapat hidup dekat Malaysia yang aman damai, jangan fikir kau akan selamat dan hidup aman sebab pengkhianatan takkan dapat sembunyi selamanya,” tambahnya.
“Semoga hukuman paling berat menanti setiap pengkhianat ini,” katanya lagi.
Reaksi netizen terhadap kenyataan Mimi ini nampaknya cukup positif, ramai yang menyokong agar dia terus lantang bersuara isu Palestin.
Mimi sendiri sebelum ini dikenali sebagai salah satu selebriti yang aktif menyuarakan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin, termasuk melalui misi Global Sumud Flotilla.







