PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kini tengah giat melakukan kerja-kerja baik pulih di empat buah sekolah yang rosak akibat ribut kuat yang melanda Teluk Panglima Garang, Selangor pada Rabu lalu.
Teruskan MembacaDalam kenyataan rasmi pada Khamis, KPM memaklumkan bahawa sekolah yang terjejas ialah SMK Sijangkang Jaya, SK Sijangkang Jaya, SK Kampung Medan dan SK Jalan Tanjung, yang masing-masing mengalami kerosakan pada beberapa struktur bangunan susulan kejadian ribut tersebut.
“Kerja-kerja pembersihan serta penilaian kerosakan sedang dijalankan di semua sekolah yang terjejas. KPM juga memastikan proses baik pulih akan dilakukan dengan segera,” menurut kenyataan itu.
Sebagai langkah keselamatan, KPM turut mengarahkan semua sekolah terlibat untuk melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) buat sementara waktu, sehingga kerja pembaikan selesai sepenuhnya.
Langkah ini diambil bagi mengelakkan sebarang risiko kepada pelajar dan guru, selain memastikan sesi pembelajaran tetap berjalan seperti biasa tanpa gangguan.
Dalam masa sama, KPM turut menasihatkan jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah dan pihak pentadbir sekolah di seluruh negara supaya sentiasa bersiap sedia menghadapi keadaan cuaca yang tidak menentu, terutamanya menjelang musim tengkujuh.
Kementerian juga menegaskan bahawa aspek keselamatan dan kesejahteraan murid serta guru akan terus menjadi keutamaan utama dalam setiap tindakan yang diambil.







