KUALA LUMPUR: Ketibaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di Malaysia kali ini cukup mencuri tumpuan apabila beliau secara spontan menyertai tarian tradisional tempatan semasa sambutan rasmi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Teruskan MembacaDisambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Trump kelihatan ceria sebaik turun dari pesawat rasmi Air Force One yang berwarna biru putih. Dalam suasana penuh meriah dengan persembahan kebudayaan pelbagai kaum, beliau sempat mengikut rentak penari tempatan, gaya bersahaja tapi cukup mencuit hati penonton.
Aksi spontan itu disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh daripada orang ramai yang berada di lokasi. Ramai tidak menyangka pemimpin tertinggi AS itu akan ‘sporting’ menari bersama kumpulan kebudayaan tempatan.
Trump juga sempat menyapa beberapa rakyat Malaysia yang hadir dan mengibarkan bendera Malaysia serta Amerika Syarikat sebagai simbol persahabatan dua negara.
Selepas acara sambutan, beliau dan Anwar menaiki limosin rasmi The Beast menuju ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Lawatan rasmi Trump ke Malaysia kali ini turut bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13 dan Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20, yang berlangsung atas jemputan Anwar selaku Pengerusi ASEAN 2025.
Aksi spontan dan mesra itu sekaligus mencipta momen menarik dalam sejarah hubungan diplomatik antara Malaysia dan Amerika Syarikat dengan Trump menunjukkan sisi lebih santai dan terbuka kepada budaya tempatan.







