KUALA LUMPUR: Malaysia sekali lagi tunjuk komitmen terhadap perjuangan rakyat Palestin apabila menerima jemputan rasmi daripada Mesir dan Perancis untuk jadi penganjur bersama Sidang Pembinaan Semula Gaza (Gaza Reconstruction Conference) yang dijadual berlangsung bulan ini di Mesir.
Teruskan MembacaMenurut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, penyertaan Malaysia kali ini bukan sekadar simbolik, tapi tanda keprihatinan berterusan terhadap nasib rakyat Gaza yang berdepan kemusnahan besar akibat konflik berpanjangan.
“Kita akan hadir bagi memastikan Malaysia dapat menyumbang, walaupun tidak besar, supaya usaha pembinaan semula ini dapat digerakkan secara kolektif,” katanya semasa sesi penggulungan Belanjawan 2026 Kementerian Luardi Parlimen pada Selasa.
Mohamad menjelaskan, penyertaan Malaysia ini juga penting bagi mengukuhkan sokongan global terhadap pemulihan Gaza, yang kini berdepan cabaran besar dalam membina semula kehidupan dan infrastruktur.
“Tujuannya jelas untuk kurangkan penderitaan rakyat Palestin, walaupun bukan sesuatu yang boleh dicapai serta-merta,” katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau turut berkongsi bahawa Malaysia dijemput ke mesyuarat menteri luar beberapa negara Islam baru-baru ini bagi membincangkan isu pascaperang, namun tidak dapat hadir kerana berada di Korea Selatan.
“Walaupun tak dapat hadir, saya dah maklumkan kepada rakan sejawat di Turkiye bahawa Malaysia akan bersama dalam sebarang keputusan yang dibuat,” tambahnya.
Mengulas soal penglibatan pasukan pengaman Malaysia, Mohamad menegaskan negara sentiasa bersedia membantu tapi hanya jika menerima mandat rasmi daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Kalau PBB jemput, kita tak pernah gagal untuk sertai. Tapi kita tak boleh hantar pasukan tanpa mandat rasmi,” katanya menjawab persoalan ramai mengenai ketiadaan pasukan Malaysia di Gaza.
Untuk makluman, konflik berpanjangan di Gaza telah menyebabkan puluhan ribu nyawa terkorban dan kemusnahan besar terhadap infrastruktur. Justeru, Malaysia terus berperanan aktif dalam usaha kemanusiaan dan pembinaan semula wilayah yang terjejas itu.







