Perkhidmatan tren Ekspres Selatan bagi laluan Gemas-JB Sentral-Gemas bakal menjadi sejarah apabila Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengesahkan operasi tren berkenaan akan ditamatkan sepenuhnya bermula 1 Januari ini, selepas hampir sembilan tahun berkhidmat kepada penumpang di sektor selatan.
Menurut KTMB, penamatan itu melibatkan enam perkhidmatan Ekspres Selatan yang selama ini menjadi pilihan ramai, iaitu tren nombor 41, 42, 43, 44, 45 dan 46.
Teruskan MembacaKTMB menjelaskan, langkah tersebut diambil sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula operasi perkhidmatan penumpang, seiring dengan perkembangan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru yang kini semakin bersedia untuk digunakan sepenuhnya.
Bagaimanapun, orang ramai tidak perlu risau kerana perkhidmatan tren di sektor selatan akan terus diperkukuh menerusi pengoperasian penuh perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) sehingga ke JB Sentral. Bermula 1 Januari, sebanyak lapan perkhidmatan ETS sehari akan disediakan.
Dengan perkhidmatan ETS ini, penumpang dijangka dapat menikmati perjalanan yang lebih cepat, moden dan selesa, selain kemudahan yang lebih mesra pengguna serta mesra alam.
Dalam masa sama, KTMB memaklumkan perkhidmatan Ekspres Rakyat Timuran (ERT) bagi laluan JB Sentral-Tumpat-JB Sentral akan terus beroperasi seperti biasa. Perkhidmatan Shuttle Timuran juga kekal sebagai pilihan alternatif perjalanan tanpa henti bagi laluan Gemas-Tumpat.
KTMB turut merakamkan penghargaan kepada semua penumpang setia Ekspres Selatan yang telah menyokong perkhidmatan itu sejak ia mula beroperasi.
“Setiap perjalanan dan kenangan bersama Ekspres Selatan akan sentiasa dikenang,” menurut KTMB.
Sehubungan itu, orang ramai disarankan untuk menyemak jadual perjalanan terkini melalui saluran rasmi KTMB dan merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.
Untuk maklumat lanjut, penumpang boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200 atau mengikuti kemas kini di media sosial rasmi KTMB.
















