KUALA LUMPUR: Usaha menjadikan Internet lebih selamat, khususnya untuk kanak-kanak dan keluarga, kini melangkah setapak ke hadapan apabila Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengumumkan pelaksanaan Peruntukan Deeming di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Teruskan MembacaMenerusi langkah ini, semua penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial berskala besar yang mempunyai lapan juta atau lebih pengguna di Malaysia akan disifatkan berdaftar secara automatik sebagai pemegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)).
Ringkasnya, platform-platform besar ini tidak lagi boleh beroperasi tanpa tertakluk kepada rangka kawal selia tempatan. Antara platform yang terlibat termasuk WhatsApp, Telegram, Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube. Pelaksanaan ini akan mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2026.
Menurut MCMC, langkah ini diambil bagi menutup jurang pengawalseliaan, terutamanya melibatkan penyedia perkhidmatan luar negara yang sebelum ini sukar dipantau dari sudut pematuhan undang-undang Malaysia.
Lebih penting, ia bertujuan memastikan platform memikul tanggungjawab yang lebih jelas terhadap keselamatan pengguna, khususnya dalam melindungi kanak-kanak dan keluarga daripada risiko dalam talian seperti kandungan berbahaya, penipuan dan ancaman siber.
Dari sudut pengguna, perubahan ini dijangka memberi lebih perlindungan. Platform yang terlibat kini tertakluk kepada obligasi undang-undang Malaysia, sekali gus membolehkan tindakan diambil dengan lebih berkesan sekiranya berlaku pelanggaran.
Bagaimanapun, MCMC menjelaskan bahawa pengguna tidak perlu risau kerana platform akan terus beroperasi seperti biasa. Tiada keperluan untuk membuka pejabat fizikal di Malaysia, namun penyedia perkhidmatan asing perlu melantik wakil tempatan bagi tujuan pematuhan.
Bagi platform yang sudah berdaftar sebagai pemegang lesen ASP(C), status tersebut akan kekal sehingga tempoh pendaftaran sedia ada tamat.
Pelaksanaan Peruntukan Deeming ini juga selari dengan pendekatan antarabangsa yang semakin menekankan aspek akauntabiliti platform digital dan keselamatan pengguna dalam dunia dalam talian yang semakin mencabar.







