Sukan SEA ke-33 di Bangkok akhirnya menutup tirainya dalam suasana penuh meriah apabila Stadium Rajamangala dibanjiri cahaya, muzik dan sorakan ribuan penonton yang hadir menyaksikan majlis penutup penuh warna-warni.
Teruskan MembacaKontinjen Malaysia tampil penuh gaya dan keyakinan apabila seramai 80 wakil negara berarak masuk ke stadium, diketuai Chef de Mission, Nurul Huda Abdullah bersama tiga timbalannya, Datuk Kenny Goh Chee Keong, Nazmizan Muhammad dan Jivan Mohan. Wajah ceria dan senyuman atlet jelas menggambarkan kepuasan atas perjuangan mereka sepanjang temasya.
Kehadiran kontinjen negara dalam perarakan penutup bukan sekadar simbol penyertaan, malah cerminan kejayaan besar Malaysia di bumi Thailand kali ini.
Malaysia menamatkan kempen Sukan SEA 2025 dengan pencapaian membanggakan apabila mengumpul keseluruhan 231 pingat, 57 emas, 57 perak dan 117 gangsa. Lebih manis, jumlah itu menjadi rekod tertinggi pernah diraih negara dalam temasya Sukan SEA yang berlangsung di luar Kuala Lumpur.
Majlis penutup terus memukau penonton dengan persembahan kebudayaan Thailand yang sarat elemen tradisi dan moden, diserikan dengan permainan cahaya serta alunan muzik yang menghidupkan suasana stadium.
Perarakan bendera negara-negara peserta pula menjadi detik paling menyentuh, apabila atlet dari seluruh Asia Tenggara berarak bersama dalam semangat persahabatan, perpaduan dan kesukanan.
Dengan tirainya kini dilabuhkan, Malaysia meninggalkan Bangkok dengan kepala tegak dan hati penuh bangga, sambil mengalihkan fokus ke cabaran lebih besar selepas ini. Sukan Asia 2026 dan seterusnya Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
















