KUALA KEDAH: Penduduk Kampung Selarong Batak, Jalan Batas Paip, dikejutkan dengan kebakaran sebuah bengkel kereta awal pagi Rabu yang menyebabkan lima kenderaan rosak teruk.
Teruskan MembacaMenurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, panggilan kecemasan diterima sekitar jam 1 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja bergegas ke lokasi kejadian.
Difahamkan, kebakaran bermula di bahagian hadapan bengkel sebelum api merebak dengan pantas ke beberapa kenderaan yang sedang dibaiki.
Komander Operasi, Zulkiflee Mat Esa memaklumkan, empat kenderaan iaitu Proton Gen-2, Perodua Kenari, Perodua Kancil dan Nissan Frontier hampir musnah sepenuhnya dengan kerosakan mencecah 90 peratus.
“Sebuah lagi kenderaan, Proton Waja, hanya mengalami kerosakan kecil sekitar lima peratus,” katanya.
Operasi pemadaman dilakukan menggunakan dua aliran pancutan air sepanjang 200 kaki dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela dari kawasan berhampiran.
Api berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira jam 1.32 pagi dan setakat ini tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut.
Polis serta Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut berada di lokasi bagi membantu kelancaran operasi.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
















