Penyanyi rap dan aktivis, Caprice, beri amaran kepada bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, supaya segera padam semua hantaran di media sosial yang didakwa mengandungi unsur fitnah terhadapnya sebelum pukul 5 petang esok.
Teruskan MembacaCaprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 38, berkata tempoh itu diberikan sebagai ‘amaran terakhir’ sebelum tindakan undang-undang diambil. Peguamnya, Mohd Rezan Ezra Muhd Mosinal, menjelaskan pihaknya akan menghantar surat tuntutan rasmi sekiranya Rafizi gagal bertindak.
“Rafizi perlu tarik balik kenyataan yang berunsur fitnah, padam semua hantaran, dan buat permohonan maaf secara terbuka,” katanya.
Caprice menegaskan bahawa kenyataan sebelum ini hanyalah untuk meminta penjelasan mengenai isu konflik kepentingan, dan bukan tuduhan rasuah atau dakwaan RM2.5 bilion seperti yang dilaporkan.
“Kami cuma minta isu ini dijawab. Tiada kaitan dengan rasuah atau dakwaan besar lain. Apa yang dibangkitkan hanyalah persoalan konflik kepentingan antara individu tertentu,” jelasnya.
Beliau menambah bahawa jika tiada tindakan diambil sebelum had masa, pihaknya tidak teragak-agak untuk meneruskan langkah undang-undang mengikut prosedur yang ditetapkan.
Sebelum ini, Rafizi turut memberi amaran akan memfailkan saman terhadap Caprice sekiranya tiada permohonan maaf dibuat selepas fakta sebenar dibentangkan.
Isu ini berkait dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dua dasar nasional, program Silicon Vision dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) ketika Rafizi menjawat jawatan Menteri Ekonomi.
















