KOTA TINGGI: Seorang lelaki berusia 53 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 67, Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, pagi tadi.
Teruskan MembacaDifahamkan, kejadian berlaku sekitar jam 9.35 pagi dan melibatkan sebuah lori Isuzu, sebuah kereta Toyota Corolla Altis serta motosikal jenis Honda CBR150R milik mangsa.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman memaklumkan pihak polis menerima maklumat awal daripada orang awam sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Menurut beliau, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat. Pemandu lori Isuzu pula dirujuk ke hospital yang sama untuk rawatan lanjut, manakala pemandu kereta dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati, peka dengan keadaan sekeliling dan mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelakkan tragedi yang tidak diingini.
















