PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus, sekali gus memberi gambaran bahawa keadaan ekonomi negara masih berada pada tahap stabil buat masa ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, kadar tersebut dilihat masih sesuai untuk menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia sambil memastikan kadar inflasi kekal terkawal.
Teruskan MembacaUntuk rekod, OPR kekal pada kadar sama sejak Julai 2025.
BNM turut menjelaskan bahawa Malaysia berdepan cabaran global ketika ini daripada kedudukan yang agak kukuh. Ini kerana pertumbuhan ekonomi domestik masih baik, inflasi berada pada tahap sederhana, sektor kewangan kekal stabil dan kedudukan luaran negara juga berada dalam keadaan yang baik.
Bagaimanapun, bank pusat itu turut mengingatkan bahawa ekonomi global masih berdepan beberapa risiko. Antaranya termasuk konflik yang berlarutan di Timur Tengah, perdagangan dunia yang semakin perlahan serta kemungkinan pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan.
Dalam masa sama, ada juga faktor yang boleh memberi kesan positif kepada ekonomi. Antaranya jika pertumbuhan global menjadi lebih kukuh, permintaan terhadap produk elektrik dan elektronik meningkat serta sektor pelancongan terus menunjukkan prestasi memberangsangkan.
Untuk rekod, Malaysia mencatat pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.2 peratus sepanjang tahun 2025 dan momentum positif itu dijangka berterusan pada tahun ini.
Sementara itu, kadar inflasi negara juga kekal rendah apabila mencatat 1.6 peratus pada Januari, sama seperti yang direkodkan pada Disember lalu.












