Selepas lebih dua dekad dalam industri muzik dengan lagu-lagu balada dan pop alternatif, Aizat Amdan kembali dengan sisi berbeza menerusi single terbaharu berjudul Ajar Aku yang merupakan kolaborasi bersama kumpulan Sekumpulan Orang Gila (SOG).
Diterbitkan di bawah Kasi Gegar Entertainment (KGE), lagu ini tampil dengan gabungan unik antara pop rock progresif, elemen sinematik serta sentuhan alternatif moden yang menyatukan dua identiti muzik berbeza.
Teruskan MembacaAizat berkongsi, projek ini antara yang paling bermakna buat dirinya kerana ia datang secara tidak dijangka, apatah lagi melibatkan kolaborasi bersama SOG serta sentuhan kreatif daripada Yuna dan Adam Sinclair.
Katanya, semuanya bermula secara spontan ketika mereka bertemu dalam sebuah podcast yang membincangkan perjalanan kerjaya masing-masing, sebelum tercetus idea untuk menghasilkan lagu berunsur keinsafan.
Menurutnya lagi, Ajar Aku cukup dekat dengan dirinya kerana ia menyentuh soal hubungan manusia dengan Tuhan, selain menjadi refleksi peribadi untuk kembali memperbaiki diri dan mengingatkan tentang perkara asas dalam kehidupan.
Aizat turut mengakui kolaborasi ini menggabungkan gaya muzik pop baladanya dengan elemen lebih keras seperti ‘post-hardcore’ yang dibawa SOG, menjadikan hasil akhir lebih segar dan berbeza daripada karya sebelum ini.
Muzik video lagu ini pula lebih istimewa apabila diarahkan oleh Yuna bersama Adam Sinclair, yang juga pernah bekerjasama dengannya sebelum ini, selain turut melibatkan abangnya sendiri, Anas Amdan sebagai penerbit.
Dalam masa sama, Aizat menafikan dirinya benar-benar “menyepi” dan berkata dia masih aktif berkarya, malah berharap karya terbaharu ini dapat lebih dekat dengan pendengar dan terus mendapat perhatian.
Ajar Aku kini sudah boleh didengari di semua platform penstriman muzik, dengan gabungan emosi, penceritaan mendalam dan tenaga muzik yang memberi warna baharu dalam perjalanan seni Aizat Amdan.
















