PUTRAJAYA : Siapa kata kerja audit membosankan? Di sebalik angka dan laporan, ada “wanita besi” yang sedang berdiri teguh mempertahankan integriti negara.
Itulah pujian yang dilontarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi.
Teruskan MembacaDalam ucapannya di Persidangan Juruaudit ASEAN, Anwar menyifatkan Wan Suraya sebagai individu yang cekal, berani dan kalis tekanan meskipun berdepan tindakan tidak popular dan tekanan dari pelbagai pihak.
“Saya tahu, bukan mudah. Kadang-kadang laporan audit yang jujur dan telus boleh buat ramai yang panas hati.
“Tapi inilah harga yang perlu dibayar demi pastikan sistem kita bersih,” katanya.
Anwar juga menjelaskan bahawa beliau tidak pernah masuk campur atau mengubah laporan Ketua Audit Negara walaupun diberi taklimat lebih awal.
Menurutnya, taklimat itu sekadar untuk makluman, dan segala laporan yang dibentangkan kepada Kabinet dan Parlimen dibuat tanpa tapisan.
“Inilah maksud tadbir urus yang baik. Audit Negara bebas buat kerja, dan kerajaan tak ganggu. Ini bukan slogan, ini tindakan,” tegasnya.
Apa yang lebih menarik, pendekatan ini turut diyakini akan membantu memperbaiki kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia.
Rakyat kini lebih yakin apabila institusi penting negara diberi kebebasan penuh, dan ada ‘wanita besi’ di barisan hadapan yang sanggup berdiri demi kebenaran tak gentar, tak goyah.







