Hajat seorang lelaki untuk mendirikan rumah tangga hujung bulan ini tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia secara mengejut selepas disengat tebuan, hanya beberapa jam selepas sempat menunaikan solat Zohor berjemaah.
Teruskan MembacaMangsa, Abdul Hamid Muhammad Taufik, 29, yang dikenali sebagai individu aktif dalam komuniti surau, dikatakan pulang ke rumah bagi membuat persiapan majlis kenduri serta bacaan Yasin pada malam kejadian.
Menurut rakan rapatnya, arwah yang juga sering menjadi imam surau menjalani rutin harian seperti biasa pada hari tersebut. Namun segalanya berubah apabila dia keluar memeriksa unit penghawa dingin di luar rumah, sebelum diserang sekumpulan tebuan secara tiba-tiba.
Selepas disengat, arwah sempat masuk ke dalam rumah dan kemudian menuju ke rumah neneknya yang terletak berdekatan. Malangnya, dia rebah di tangga sebelum sempat mendapatkan bantuan.
Penduduk kampung yang menyedari kejadian itu segera membawanya ke klinik berhampiran dan usaha CPR dilakukan lebih 30 minit, namun arwah disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.
Difahamkan, arwah mempunyai sejarah alahan dan resdung, yang dipercayai menyebabkan reaksi sengatan menjadi lebih serius dan membawa komplikasi pantas.
Pemergian arwah benar-benar memberi kesan mendalam kepada keluarga, sahabat dan penduduk kampung, apatah lagi dia sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada hujung Januari ini.
Di media sosial, ramai netizen meluahkan rasa sebak dan takziah, menyifatkan arwah sebagai insan baik, rendah diri dan sentiasa mendahulukan urusan ibadah.
Sesungguhnya, kematian itu datang tanpa amaran, meninggalkan peringatan buat semua bahawa hidup ini terlalu singkat dan penuh rahsia.







