Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan satu kluster penyakit Tuberkulosis (tibi) dikesan di Kota Tinggi, Johor, membabitkan 33 kes positif setakat ini.
Teruskan MembacaMenurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, kluster berkenaan dikenal pasti sejak 25 Januari, selepas saringan dilakukan ke atas 804 individu yang dikenal pasti sebagai kontak rapat.
Susulan itu, pasukan KKM kini berada di lapangan dan sedang menjalankan tindakan agresif bagi memastikan penularan penyakit berjangkit itu dapat dikawal secepat mungkin.
Semua individu yang disahkan positif telah pun menerima rawatan dan kini berada dalam pemantauan rapi pihak KKM.
“Semua pesakit yang dikesan positif telah menerima rawatan dan sedang dipantau rapi,” katanya menerusi satu hantaran di platform X, lewat malam tadi.
Dalam masa sama, Dzulkefly memaklumkan terdapat satu kematian melibatkan kluster tersebut, namun menegaskan kematian itu bukan berpunca daripada jangkitan tibi.
KKM juga kini berada dalam keadaan siap siaga dengan langkah pengesanan kes secara aktif terus dijalankan bagi melindungi keselamatan penduduk setempat.
Orang ramai khususnya penduduk sekitar Kota Tinggi dinasihatkan supaya segera mendapatkan pemeriksaan sekiranya mengalami simptom seperti batuk berpanjangan, demam, penurunan berat badan atau berpeluh pada waktu malam.
Pada masa sama, KKM mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan khabar angin atau maklumat tidak sahihyang boleh mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat.
Untuk info, tibi atau batuk kering ialah penyakit berjangkit yang merebak melalui udara, terutamanya kepada individu yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit. Walaupun berbahaya, penyakit ini boleh dirawat dan sembuh sepenuhnya jika rawatan dipatuhi secara konsisten selama sekurang-kurangnya enam bulan.
















