2 Beranak Rohingya Ini Datang Ke Malaysia Untuk Ubah Hidup Tetapi Apa Terjadi Memang Di Luar Jangka Mereka

Kuantan: Sorang wanita etnik Rohingya datang ke Malaysia bersama anak lelaki beberapa tahun lalu dengan harapan mencari kehidupan baharu selepas suaminya mati dibunuh di Myanmar.

Hafzatun, wanita berusia 50-an itu memilih Kuantan sebagai penempatannya di negara ini dan membina rumah kayu di Sungai Soi di sini, untuk berlindung bersama anak lelaki, menantu dan cucu yang berusia enam bulan.

Malang buat keluarga itu, apabila anak lelaki yang berusia 30-an jatuh sakit dan perlu menjalani pembedahan usus. Lebih buruk apabila menantu pula melarikan diri ke Kuala Lumpur.

Ia menyebabkan Hafzatun menjadi satu-satunya tempat bergantung bagi menyara keluarga. Tanpa sebarang kemahiran, wanita itu melakukan apa juga kerja bagi meneruskan kehidupan.

Akhirnya, Hafzatun hanya menjual tisu dan berperwatakan seperti ‘pengemis’ dengan duduk di lantai, berpakaian kusam demi meraih simpati terhadap nasibnya sebagai etnik terbuang Rohingya.

Bagaimanapun, wang hasil jualan itu bukan menjadi miliknya kerana barangan itu dibekalkan pihak lain yang mengeksploitasi golongan susah seperti Hafzatun untuk mengaut keuntungan.

Ketika ditemui di hadapan premis sebuah bank di Jalan Putra Square di sini, Hafzatun keberatan memberitahu perkara sebenar, tetapi akhirnya akur apabila memberitahu dia diminta menjual tisu oleh satu pihak yang enggan didedahkannya.

“Saya dapat RM60 sehari, tetapi saya terima RM20, selebihnya orang lain ambil.

“Badan sakit dan kepala pening duduk sini (di lantai depan bank),” katanya.

Wartawan cuba memujuk wanita itu mendedahkan identiti pihak yang mengeksplotasinya untuk dilaporkan kepada pihak berkuasa, tetapi dia enggan kerana bimbang pendapatannya terjejas.

“Tidak payahlah,” katanya apabila terus beredar dengan memberi alasan mahu pulang ke rumah.

Ketika tinjauan di hadapan sebuah bank di Jalan Tun Ismail di sini, didapati ada kanak-kanak lelaki warga tempatan berusia belasan tahun turut mengemis dengan menjual tisu.

Bagaimanapun, usaha mendekatinya gagal kerana kehadiran lelaki dewasa menemaninya. Menjelang jam 11 malam, mereka bergerak dan bertemu satu pasangan lelaki dan wanita.

Mereka mengira wang hasil jualan kanak-kanak itu sebelum wanita terbabit beredar dengan kereta dan membawa semula bekas berisi tisu dijual kanak-kanak terbabit.

Ketiga-tiganya membawa haluan masing-masing dan kanak-kanak itu dipercayai menjadi mangsa kepada pihak tertentu untuk mengaut keuntungan.

Sumber Artikel : HMETRO ONLINE

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*