2 Sahabat Memancing Di Pulau Ketam Diakhiri Dengan Musibah Bila Berdepan Dengan Laut Bergelora

KLANG: Niat dua sahabat mahu ke perairan Pulau Ketam, dekat sini, untuk memancing namun tiada siapa menduga musibah bertandang ketika kedua-duanya berusaha untuk pulang selepas berdepan angin kencang serta laut bergelora.

Bot fiber dinaiki Amir Hamzah Mohd Jani, 55, dan Syed Noor Masadi, 51, pecah di tengah lautan selepas dipukul ombak besar, menyebabkan ia karam dan mereka berpaut pada tong minyak dan serpihan bot untuk menyelamatkan diri.

Malangnya, hanya Amir Hamzah yang mampu bertahan apabila lebih lima jam berpaut pada tong minyak manakala Syed Noor ditemui le mas oleh anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada jam 5.37 petang kelmarin.

Menurut Amir Hamzah, dia berusaha mencapai tangan rakannya ketika mahu menyerahkan sebuah lagi tong minyak untuk dipaut Syed Noor namun ombak besar menarik rakannya jauh daripadanya.

“Dia berenang ke arah saya dan sempat mengambil tong itu, tetapi saya lihat wajahnya kebiruan, malah dia hanya mendongak ke atas sebelum melepaskan tong berkenaan serta hilang ditelan ombak.

“Saya cuba capai tangannya apabila dia tidak menyahut panggilan saya, tetapi tidak berjaya kerana ombak terlalu besar,” katanya ketika memberi kenyataan di pejabat Maritim Pelabuhan Klang di sini, kelmarin.

SERPIHAN bot karam dipukul ombak besar.

Menceritakan semula kejadian itu, Amir Hamzah berkata, mereka bertolak ke perairan Pulau Ketam dari jeti Pantai Remis, Kuala Selangor jam 3 pagi kelmarin.

Katanya, ketika leka memancing jam 11 pagi, mereka dikejutkan dengan angin kencang dan ombak besar sebelum Syed Noor mengajak pulang ke jeti.

“Walaupun berat hati (untuk pulang), saya ikutkan juga kerana dia hendak balik disebabkan ombak besar. Malangnya ketika perjalanan pulang itu bot kami pecah dan terbelah dua sebelum karam.

“Saya sempat berpaut pada tong minyak dan dia berpaut pada serpihan bot. Syed meminta saya mengambil sebuah lagi tong minyak untuk dia berpaut, tetapi ombak besar melambatkan pergerakan saya.

“Apabila tong itu diambil, Syed meminta saya memegangnya dan dia berenang ke arah saya. Ketika itu ombak besar tetapi dia berjaya juga tiba di tempat saya dan mengambil tong berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia mengesan perubahan pada wajah Syed Noor dan rakannya tidak menyahut panggilannya sebelum hilang dibawa ombak.

“Saya besyukur kerana diselamatkan Maritim Malaysia walaupun penat berpaut lima jam,” katanya.

Sumber Artikel: Hmetro Online

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*