TS Muhyiddin Yassin Menang Tanpa Bertanding Sebagai Presiden Bersatu. Tapi. Timbalan Dia Bukan Calang Calang

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin secara tidak rasmi menang tanpa bertanding bagi mengekalkan jawatan Presiden Bersatu, selepas menjadi calon tunggal bagi jawatan itu pada pemilihan parti itu bulan depan.

Timbalan Presiden

Turut menang tanpa bertanding (tidak rasmi) Timbalan Presiden adalah Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, yang juga menjadi calon tunggal jawatan tersebut.

Semakan di laman sesawang rasmi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Bersatu itu menyatakan kedua-dua jawatan tertinggi parti itu masing-masing, hanya mempunyai seorang calon.

Bagaimanapun Pengerusi JPP Tan Sri Syed Hamid Albar ketika dihubungi Bernama berkata, pengumuman secara rasmi mengenai keputusan pemilihan itu akan dibuat selepas selesai kesemua mesyuarat Bahagian Bersatu yang dijangka pada Ogos ini.

“ Secara rasmi tiada calon lain bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, kerana pencalonan sudah ditutup, namun pengumuman rasmi (keputusan) hanya akan dibuat selepas selesai mesyuarat bahagian,” katanya.

Jawatankuasa pemilihan itu hari ini mengadakan proses cabutan nombor calon di ibu pejabat parti bagi calon-calon yang layak bertanding, di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Armada dan Srikandi.

Senarai nombor calon itu boleh diakses semua calon dan ahli melalui laman sesawang rasmi JPP Bersatu di http://pribumibersatu.org.my/sys/index.php/calon_mpt.

Dalam pada itu, seramai 17 calon disenarai bertanding bagi jawatan Naib Presiden, antaranya Menteri Kanan Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Jawatan Ketua Armada pula menyaksikan perebutan dua calon iaitu Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Exco Armada Muzzamil Ismail.

Jawatan Ketua Srikandi menyaksikan saingan empat penjuru membabitkan penyandangnya yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun, Ketua Bersatu Bahagian Kepala Batas Datuk Azlina Mehtab Mohd Ishak, Datin Iza Ismail dan Zuhuraina Makmur.

Bagi MPT, seramai 163 calon bertanding jawatan tersebut.

Persidangan semua bahagian Bersatu akan diadakan serentak pada 22 Ogos yang turut berlangsung pemilihan untuk jawatan tertinggi parti. Persidangan Armada bahagian pula dijadualkan pada 15 Ogos manakala 16 Ogos merupakan persidangan Srikandi bahagian, dengan kedua-dua sayap akan memilih pimpinan tertinggi peringkat pusat sewaktu persidangan bahagian.

Sementara itu semakan di laman sesawang tersebut mendapati tiada calon bagi jawatan Pengerusi Parti itu.

Pada 16 Mac lepas, Tun Dr Mahathir Mohamad disahkan menang tanpa bertanding sebagai Pengerusi Bersatu, selepas bekas perdana menteri itu tidak dicabar untuk jawatan berkenaan, setelah proses penamaan calon bertanding untuk pemilihan ahli MPT ditutup.

Bagaimanapun, keahlian Dr Mahathir dan empat lagi Ahli Parlimen iaitu Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir, Ahli MPT Dr Maszlee Malik, Ketua Armada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Datuk Amiruddin Hamzah terhenti serta-merta, selepas mereka bertindak duduk di blok pembangkang pada sidang Parlimen, 18 Mei lalu.

Sewaktu penamaan calon untuk jawatan MPT, Mukhriz juga telah diumumkan akan mencabar Muhyiddin untuk jawatan Presiden parti, manakala bagi jawatan Timbalan Presiden melibatkan pertandingan tiga penjuru antara Ahmad Faizal, bekas Setiausaha Agung parti Datuk Marzuki Yahya dan Timbalan Ketua Armada Selangor yang juga Ketua Armada Ampang Anas Akashah Nazri.

Sementara itu, Syed Hamid Albar dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya mengambil maklum hasrat calon-calon untuk mencetak nama mereka seperti dikenali umum, pada senarai calon rasmi yang akan diedarkan ke semua bahagian.

Katanya ini termasuk gelaran darjah kebesaran dan gelaran akademik.

“ Calon-calon yang berhasrat melakukan perubahan untuk cetakan rasmi nama calon mereka, bolehlah memaklumkan kepada JPP secara bertulis melalui email [email protected] gmail.com sebelum 25 Julai 2020,” tambahnya.

Syed Saddiq Tarik Balik Saman Bersatu

Pasrah dengan tindakan pemecatan beliau, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman menarik balik saman sivil terhadap kes pemecatan beliau sebagai ahli Bersatu.

Pengasas dan Ketua Armada Bersatu yang pertama itu berkata, beliau akan terus maju ke hadapan.

“ Saya juga akan menarik semula saman sivil terhadap kes pemecatan keahlian saya dalam Bersatu.

“ Kalau nak ambil parti, ambillah. Kalau nak buang nombor keahlian saya, buanglah.

“ Saya tidak akan melengah-lengahkan usaha tuan-tuan sekalian,” kata Syed Sadiq melalui Intagram beliau.

Menurut bekas Menteri Belia dan Sukan itu, beliau akan sentiasa mencipta ruang untuk membina negara.

“ Bagi saya, rakyat dan negara itu paling utama.

“ Banyak juga pendapat dikongsi tentang langkah terbaik untuk masa hadapan negara.

“ Walau apa pun, jika ianya berpaksikan negara dan anak muda, saya tahu itulah langkah yang akan saya ambil dan pilih,”katanya.

— MALAYSIA GAZETTE

Apa Kata Anda? Dah Baca Jangan Lupa Komen Yang Baik-Baik Sahaja Dan Jangan Lupa Share Ya. Terima Kasih

PERHATIAN: Pihak Kualalumpur Viral  tidak akan bertanggungjawab Iangsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak Kualalumpur Viral juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*