Akhirnya Ini Yang Terjadi Kepada Gerai Nombor 6 RnR Gambang Setelah Sekian Lama Ditutup

KUANTAN – Selepas didapati bersalah melanggar syarat yang telah ditetapkan, ANIH Berhad bertindak menamatkan kontrak pemilik gerai nombor enam di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gambang arah Timur yang terbabit kes memukul pemandu bas ekspres, pada 24 Disember lalu.

Pengurus Besar Kanan, Ketua ANIH Berhad Radzimah Mohd Radzi berkata, keputusan itu diambil selepas siasatan dalaman dijalankan pihaknya selain mengambil kira hukuman denda yang dikenakan terhadap enam lelaki di Mahkamah Majistret Kuantan, Isnin lalu.

Radzimah (kanan) beramah mesra bersama peniaga R&R Gambang arah Timur ketika ditemuinya di sini.

“Mereka didapati melanggar klausa 2.5 yang termaktub dalam kontrak yang mana peniaga dilarang menggunakan gerai untuk tujuan tidak diingini dan dilarang melakukan kesalahan undang undang, berkelakuan korang sopan, bergaduh dengan pengendali gerai lain, pelanggan atau ganggu keselamatan dan keselesaan mereka.

“Atas kerana itu kita ambil keputusan untuk tamatkan kontrak mereka dan keputusan ini adalah muktamad. Tindakan ini juga menjadi pengajaran untuk peniaga lain supaya lebih berhati-hati dalam menjalankan urusan perniagaan,” katanya pada sidang media di R&R Gambang arah timur, Kuantan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sepatutnya kontrak pemilik gerai berkenaan ditandatangani semula setiap tahun selepas tamat pada 31 Disember lalu namun tidak akan disambung disebabkan kejadian itu yang telah menjadi tular di media sosial baru-baru ini.

Dalam pada itu, Radzimah berkata, pihaknya juga telah melakukan perjumpaan bersama pihak pengurusan Sani Express pada 26 Disember lalu bagi memulihkan kembali situasi ekoran wujud dakwaan perniagaan di situ diboikot terutama dalam kalangan pemandu bas.

PENGURUS Besar Kanan, Ketua ANIH Berhad, Radzimah Mohd Radzi (tiga kiri) meninjau keadaan peniaga di gerai makanan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Kawasan R&R Gambang Arah Timur selepas kejadian tular mengenai pergaduhan di kawasan tersebut baru baru ini. FOTO Farizul Hafiz Awang

Tambahnya, ANIH juga akan memasang kamera litar tertutup (CCTV) dalam masa terdekat di semua R&R di bawah kendalian mereka yang dapat meningkatkan keselamatan di samping dapat memantau supaya kejadian seperti ini tidak berlaku lagi.

“Disebabkan kerana seorang peniaga, hampir semua peniaga di kedua-dua R&R Gambang terjejas sehingga mengalami kemerosotan sebanyak 50 peratus. Dengan pertemuan itu, kita dapat membincangkan permasalahan ini dan mencari penyelesaian bagi kita pulihkan keadaan,” katanya.

“Sekiranya berlaku salah faham antara peniaga dan pelanggan dan jika pelanggan yang tidak berpuas hati boleh membuat aduan di saluran yang betul,”katanya.

Sinar Harian Isnin lalu melaporkan enam lelaki dijatuhkan hukuman denda RM2,000 setiap seorang setelah mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuantan kerana memukul pemandu bas ekspres di R&R Gambang arah barat pada 1.30 pagi 24 Disember lalu.

Kejadian tercetus susulan salah faham dan pemandu bas itu dipukul sekumpulan lelaki yang merupakan pekerja di R&R Gambang arah timur itu.

Pemandu bas berusia 32 tahun terbabit juga ditahan polis dan membuat pengakuan tidak bersalah serta minta dibicarakan oleh mahkamah pada Isnin lalu atas dua pertuduhan dikenakan ke atasnya.

INFO

•Sebanyak 32 gerai perniagaan terdapat di R&R Gambang di kedua arah.

•Secara purata terdapat 80 hingga 90 pekerja di R&R Gambang di kedua arah.

•Kira-kira 50 peratus kehadiran pelanggan merosot di kedua arah R&R Gambang disebabkan insiden pergaduhan yang tular.

•Orang ramai yang ingin membuat aduan boleh menggunakan saluran Twitter dan Facebook ANIH Berhad selain berhubung terus 09-5479111.

Sumber : Sinar Harian

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*