Akhirnya Lelaki Menyamar Sebagai Anggota PASKAL Tampil Minta Maaf. Dia Tiada Niat Langsung…

PIHAK Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kesal dengan tindakan seorang lelaki menyamar dan mempersendakan nama baik Pasukan Khas Laut TLDM atau singkatannya PASKAL.

Video lelaki berusia sekitar 20-an itu yang tular di media sosial dikesan mula tersebar sejak kelmarin dan mengundang pelbagai reaksi nitizen.

Lelaki terbabit didapati memperkenalkan dirinya sebagai anggota PASKAL ketika berinteraksi bersama seorang individu dipercayai pondan menggunakan aplikasi Bigo.

Jurucakap TLDM ketika dihubungi berkata, berdasarkan video berdurasi 54 saat yang tular di media sosial itu, lelaki berambut pendek itu tampil dengan wajah bengis ketika berbual secara langsung melalui Bigo.

“Pada awal perbualan ‘wanita’ terbabit bertanya kepada lelaki itu sama ada sudah makan atau belum. Namun soalan itu dijawab dengan nada serius mendakwa dia sudah memakan labi-labi.

“Tidak puas hati dengan jawapan itu, wanita terbabit kemudian bertanyakan bagaimana rasa (daging) labi-labi itu. Pertanyaan itu sekali lagi dijawab dengan kasar mendakwa daging labi-labi mempunyai rasa tidak sama dengan khinzir atau ikan siakap.

“Wanita terbabit kemudian bertanya mengapa lelaki terbabit terlalu serius ketika berkomunikasi sebelum lelaki itu menjawab dia adalah anggota PASKAL.

“Jawapan itu serta-merta disahut beberapa lagi individu dipercayai rakan lelaki terbabit dengan jeritan ‘Hidup PASKAL!’,” katanya.

Beliau berkata, pihak TLDM sudah menjalankan siasatan dalaman dan mendapati individu terbabit bukan anggota TLDM atau PASKAL seperti didakwa.

Katanya, tindakan lelaki itu seolah-olah sengaja mencemar nama baik PASKAL.

“Mungkin populariti filem PASKAL menyebabkan lelaki berkemeja T dan berkain pelikat itu sengaja menyamar.

“Untuk menjadi anggota PASKAL, seseorang itu perlu melalui banyak ujian seperti aspek ketahanan fizikal dan mental sebelum mengikuti kursus asas komando.

“Selalunya ada 120 ke 150 orang calon, tetapi hanya 15 orang sahaja yang terbaik dan terpilih kerana berjaya melepasi semua tapisan ditetapkan setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata, anggota PASKAL sentiasa menjaga tingkah laku dan harus memberikan sepenuh perhatian terhadap ikrar mereka sebagai anggota elit PASKAL.

‘Ya Allah, saya langsung tidak mempersendakan PASKAL’

“Ya Allah, saya langsung tidak mempersendakan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), sumpah! Saya hanyalah peminat cerita PASKAL,” demikian kata Asraf Jaafar yang menafikan dakwaan yang mengatakan dia mempersendakan nama baik Pasukan Khas Laut TLDM (PASKAL).

Dalam penjelasan Asraf yang dimuat naik di Instagramnya sebentar tadi menjelaskan, dia hanya sekadar melakonkan watak seperti dalam filem PASKAL.

“Saya hanya melakonkan watak seperti cerita PASKAL sebab saya pun minat cerita PASKAL dan semua pun tahu itu hiburan. Sikit pun saya tidak mempersendakan pasal PASKAL.

“Saya sendiri tak tahu orang nak record saya main Bigo Live. Tapi tak sangka video itu viral,” jelasnya.

Enggan mengeruhkan keadaan, Asraf mengambil keputusan untuk memohon maaf kepada pihak TLDM jika video viral itu telah menyinggungkan mereka.

“Saya mohon maaf atas kecuaian dan kesilapan saya. Saya tak sangka sampai jadi macam ni. Saya cuma mahu menjadi penghibur,” katanya.

Sumber : Harian Metro / Reportermy

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*