Akhirnya RTM Tampil Jawab Arahan Sekat Penceramah Agama Keluar TV, Radio

SHAH ALAM – Senarai nama penceramah yang didakwa bakal digam daripada muncul di TV dan radio bermula bulan depan tersebar.

Penceramah terkenal, Datuk Mohd Kazim Elias ada meluahkan perasaan sedihnya atas perkhabaran itu.

“Dengor khabarnya teman (saya) dah tak digalakkan untuk keluar dalam program di TV dan radio. Sedihnya, nak nangis pula rasanya.

“Alhamdulillah dunia dakwah sangat luas. Janji dakwah jalan terus yang sedihnya bagi yang menyekat itu, apa lah nak dijawab di hadapan ALLAH SWT apabila disoal sedangkan menyampaikan dakwah itu adalah perintah ALLAH..

“Lepas ini nak buat kerja apa ya?,” tulisnya di Facebook, malam tadi.

Nama Mohd Kazim di tempat kedua selepas Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Selangor, Ahmad Dusuki Abd Rani diikuti Samsul Debat, Dr Redzuan Tee Abdullah, Ustaz Abdullah Khairi, Ustazah Norhafizah Musa, Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Zamihan, PU Amin dan PU Syed.

Sementara itu, PU Syed akui tidak kisah sekiranya disekat muncul di kaca TV dan corong radio.

“Ambe (saya) tak kisah jika disekat untuk ke udara di TV atau Radio milik kerajaan atau swasta. Zaman ini siaran langsung kita boleh buat sendiri pada bila-bila masa dan di mana jua.

“Kenapa nak bersedih? Relaks-relaks saja. Ambe disekat kerana tegur kerajaan jika ambe ampu kerajaan, nama ambe takkan tersenarai,” katanya.

Malah katanya, beliau sering berdepan ‘dibuang’ daripada mengajar di masjid ketika zaman BN lagi.

Namun beliau tidak takut kerana ujian ini terlalu kecil jika dibandingkan dengan ujian diterima para anbiya.

“Ambe sejak zaman BN memerintah, jika ada salah, ambe akan tegur dan ambe tak takut.

“Mungkin mereka tak tahu bahawa ujian terhadap usaha dakwah para anbiya lagi dahsyat sehingga ada yang dibunuh oleh kaumnya.

“Jadi apa yg berlaku ini hanya kemuncup yg melekat dan boleh dibuang begitu sahaja. Ambe bukan kumpul harta melalui denai dakwah ini cuma mencari reda ALLAH untuk bekalan di Akhirat sana,” katanya. (Sumber : Sinar Harian)

RTM jawab arahan sekat penceramah agama keluar TV, radio

Jabatan Penyiaran Malaysia menjelaskan bahawa setiap penceramah yang dipilih untuk bersiaran di Radio Television Malaysia (RTM) perlu mendapat tauliah daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Justeru, surat berkaitan senarai nama penceramah atau asatizah untuk rancangan keagamaan (Islam) di RTM yang tular di media sosial itu hanya bertujuan memaklumkan mengenai cadangan penceramah yang diluluskan oleh Jakim.

“Senarai nama penceramah itu adalah tambahan kepada senarai sedia ada. Ia tiada kena mengena dengan mana-mana parti politik atau orang perseorangan,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu surat yang ditandatangani Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia itu memaklumkan senarai nama yang telah dipersetujui Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo untuk siaran televisyen dan radio RTM.

Surat yang ditular itu turut menyenaraikan nama penceramah terbabit yang diterima daripada Pegawai Tugas-tugas Khas (Bahagian Agama) Jabatan Perdana Menteri.

Surat berkenaan juga memaklumkan Jabatan Perdana Menteri telah membuat tapisan dari segi kelulusan, kelayakan, kepakaran dan mentauliahkan kesemua penceramah berkenaan.

Sumber : Malaysiakini

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*