Ayah Nurul Najihah Tunang Arwah Adib Menceritakan Keadaan Anaknya Sekarang Dan Kalau Ikutkan Malam Tadi Majlis Pernikahan

“MENGIKUT perancangan, saya sepatutnya nikahkan mereka di masjid malam tadi,” luah Mohd Radzi Bedah, 51.

Mohd Radzi adalah bapa kepada Nurul Najihah, 25, yang dirancang bernikah dengan anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang meniinggal dunia Isnin lalu.

MOHD Radzi menunjukkan gambar pertunangan anaknya bersama Allahyarham Muhammad Adib. FOTO Suzalina Halid

Beliau berkata, Najihah dan Adib sepatutnya disatukan pada majlis akad nikah di Masjid Pantai Johor malam tadi, sebelum majlis persandingan diadakan di rumah mereka di Taman Damai, di sini.

Katanya, kelengkapan baju untuk dipakai keluarga mereka sempena majlis perkahwinan itu juga sudah disiapkan, begitu juga dengan duit pendahuluan jamuan makanan yang disediakan pihak katering.

Bagaimanapun, dia dan keluarga reda dengan ketentuan takdir yang Muhammad Adib menghadap Ilahi beberapa hari sebelum majlis pernikahan mereka berlangsung.

“Biarpun tertulis antara mereka tiada jodoh, namun saya berharap ikatan silaturahim antara keluarga arwh Muhammad Adib dan kami tidak akan terputus.

“Malah, kos jamuan yang sepatutnya berlangsung hari ini saya salurkan untuk majlis tahlil Khamis lalu, ” katanya yang sebelum ini merancang menjemput kira-kira 1,500 tetamu.

Muhammad Adib meniinggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Isnin lalu selepas tiga minggu menerima rawatan di situ akibat cedera parah dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya bulan lalu.

Menyentuh mengenai perihal Muhammad Adib, Mohd Radzi berkata, perilaku pemuda itu amat baik dan tidak banyak bercakap memandangkan dia seorang yang pemalu.

Sementara itu, isterinya, Haliza Abu Bakar, 48 berkata, semangat Nurul Najihah yang hilang selepas tragedi itu semakin pulih dalam tempoh hampir seminggu Muhammad Adib meniinggal dunia.

Haliza berkata, keadaan Nurul Najihah semakin baik apabila tidak lagi berkurung di dalam bilik, sebaliknya sudah boleh melakukan aktiviti lain seperti mengemas rumah dan memandu kereta sendiri.

Katanya, selepas pemergian Muhammad Adib, Isnin lalu, Nurul Najihah yang juga anak kedua daripada empat beradik itu banyak termenung dan berkurung dalam bilik.

“Alhamdulillah keadaan Najihah semakin pulih, dia sudah keluar bilik. Kalau tidak memang berkurung dalam bilik saja, pagi tadi dia bangun awal kemas rumah dan boleh memandu sendiri untuk menghadiri tahlil di rumah arwh.

“Sebelum ini, memang dia tidak mahu makan, kalau saudara-mara datang dia akan keluar bersembang sekejap, selepas itu dia kembali berkurung dalam bilik dan termenung,” katanya.

Pada masa sama, Haliza berkata, perubahan positif Nurul Najihah dapat dilihat selepas keluarga mengadakan majlis tahlil di surau di perumahan mereka dan meminta ahli kariah untuk mendoakan anaknya diberi kekuatan.

Sebelum ini katanya, emosi Nurul Najihah turut terganggu apabila wujudnya enam akaun palsu di laman sosial Instagram yang menyamar sebagai Eksekutif Jualan itu.

Rentetan itu, Haliza berkata, pihak keluarga turut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar sebelum pihak berkuasa meminta mereka merujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

‘Senyuman Adib pasti dirindui’ – Rakan

“KAMI akan teruskan perjuangan kamu (Adib) dalam memberikan khidmat kepada masyarakat,” kata Mohamad Khairul Nizam Mohd Fauzi, 25, rakan setugas Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang meniinggal dunia selepas parah dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya, pada 27 November lalu.

Mohamad Khairul berkata, pemergian Muhammad Adib adalah kehilangan besar bagi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) kerana beliau disifatkan seperti ‘sebutir permata’.

RAKAMAN video Muhammad Adib menyambut hari kelahirannya di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, 28 Mei lalu tular di media sosial, hari ini. (Gambar kecil atas) Mohamad Khairul Nizam Mohd Fauzi, Muhamad Ikhwan Che Mohd Daroh. FOTO Muhd Zaaba Zakeria

“Saya harap keluarga Adib tabah menghadapi dugaan ini. Kami menghargai setiap jasa dicurahkan Adib ketika menjalankan tugasnya dan akan meneruskan perjuangan beliau dalam memberikan khidmat kepada masyarakat.

“Saya terkilan sebab tidak dapat pergi ke urusan pengebumian dia di Kedah kerana perlu berada di balai untuk bersedia jika menerima panggilan kecemasan di Subang,” katanya ketika ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, hari ini.

Menurut Mohamad Khairul, Adib seorang yang pemalu, baik, jujur serta banyak bertanya dan berkongsi pengalamannya dalam setiap operasi disertainya.

“Sepanjang mengenali Adib sejak dia mula bertugas pada 2015, Adib seorang yang sangat pendiam apabila berada di sekeliling individu tidak dikenali. Namun sebaik mengenali dengan lebih rapat, dia akan berkongsi cerita dan pengalamannya.

“Malah, rakaman menunjukkan dia menyambut sambutan hari lahir pada 28 Mei lalu di balai bomba ini yang tular, hari ini, menunjukkan dia amat disenangi rakan sekerja,” katanya.

Katanya, dia ada melihat gambar kad jemputan majlis perkahwinan Muhammad Adib bersama tunangnya, Nurul Najihah Mohd Radzi yang tular di media sosial, sejak semalam.

“Melihat kad jemputan itu, saya teringat Adib pernah menjemput kami (rakan setugas) ke majlis perkahwinannya di Kedah sebelum ini. Namun, saya tidak sempat menerima kad jemputan itu sebelum ternampak gambar berkenaan tular di media sosial.

“Dia ada meminta saya datang ke majlis itu, namun saya memaklumkan lebih awal kemungkinan tidak dapat hadir kerana perlu bertugas dan Adib memahami perkara itu,” katanya.

Bekas rakan serumah Muhammad Adib, Muhamad Ikhwan Che Mohd Daroh, 25, berkata, senyuman Adib akan sentiasa dalam ingatannya.

“Dia seorang yang pemalu dan kurang bercakap. Setiap kali saya bertemu Adib, saya akan tegur dan bergurau dengannya.

“Saya suka melihat telatah Adib ketika kami bergurau. Malah, dia seorang yang ambil berat terhadap rakan setugas terutama ketika kami masih tinggal serumah,” katanya yang turut bertugas di BBP Subang Jaya.

Katanya, dia amat sedih dengan pemergian Muhammad Adib kerana hubungan mereka yang rapat memandangkan mereka mula bertugas di balai bomba berkenaan pada masa yang sama.

Sementara itu, detik gembira Muhammad Adib menyambut hari kelahirannya pada 28 Mei lalu tular di media sosial apabila video berdurasi 18 saat terbabit dikongsikan pengguna Instagram, @friendsofbombamalaysia, hari ini.

Dalam video terbabit, Allahyarham Muhammad Adib kelihatan ceria ketika menyambut hari kelahirannya selain kedengaran beberapa rakannya yang mengusik beliau termasuk meminta anggota bomba itu memotong kek segera bagi membolehkan mereka menjamahnya tanpa rasa bersalah.

Allahyarham kelihatan malu ketika memotong kek itu, namun sempat mengukir senyuman dan memberi tanda isyarat ‘baik’.

Sumber : Harian Metro

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*