Alhamdullilah, Bermula Esok Solat Jumaat Akan Dibenarkan Semula Di Wilayah Persekutuan. Ini Kenyataan Dari Menteri Agama

MASJID dan surau terpilih di Wilayah Persekutuan boleh melakukan solat Jumaat, solat berjemaah, solat tarawih dan solat Hari Raya Aidilfitri ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, solat Jumaat dan solat berjemaah di masjid, surau terpilih boleh dilaksana secara berperingkat mulai esok.

Katanya, bilangan jemaah solat Jumaat, lain-lain solat berjemaah tidak kurang daripada tiga orang tidak termasuk imam dan tidak lebih daripada 30 orang.

Pihak masjid, surau Jumaat dan surau terpilih juga perlu memastikan terdapat kawalan pihak berkuasa seperti polis dan pihak berkuasa agama negeri mengawal keadaan, katanya ketika sidang media di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini beberapa negeri juga mengumumkan membenarkan Solat Jumaat dan Aidilfitri

SULTAN Perak Sultan Nazrin Shah memberi perkenan untuk membenarkan solat Jumaat diadakan di masjid dan surau, bermula esok selepas mendapat pandangan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Shahrul Azam Shaari berkata, baginda turut memberi perkenan untuk solat sunat Aidilfitri diadakan di masjid dan surau pada pagi 1 Syawal.

Bagaimanapun, beliau berkata kebenaran itu tertakluk kepada beberapa syarat antaranya bilangan jemaah tidak melebihi 12 orang, termasuk imam dan khatib.

“Masjid dan surau bagaimanapun masih tidak dibuka kepada orang awam. Pengerusi jawatankuasa kariah hendaklah mengenal pasti dan menetapkan bahawa jemaah yang dibenarkan hadir terbatas kepada kalangan ahli jawatankuasa kariah dan pegawai masjid dan surau.

“Individu yang berusia lebih 60 tahun tidak digalakkan hadir berjemaah. Mereka yang mempunyai gejala seperti demam, sesak nafas, sakit tekak dan selesema, sejarah kesihatan seperti kencing manis, darah tinggi, lelah, barah dan sebagainya tidak dibenarkan hadir,” menurutnya dalam satu kenyataan di Ipoh, hari ini.

Selain itu, Shahrul Azam berkata, setiap jemaah hendaklah membuat pemeriksaan suhu badan, menggunakan cecair pembasmi kuman, merekodkan kehadiran di dalam buku kehadiran serta mengambil wuduk sebelum datang ke masjid atau surau dan membawa sejadah masing-masing.

Beliau berkata, jawatankuasa kariah masjid dan surau diri Jumaat dibenarkan menggunakan pembesar suara luar semasa bacaan teks khutbah serta takbir untuk manfaat ahli-ahli kariah di sekitar rumah ibadat itu.

Syarat lain, katanya, adalah tempoh masa bermula azan, khutbah sehingga selesai solat Jumaat serta tempoh mula bertakbir sehingga selesai khutbah solat sunat Aidilfitri di dalam masjid dan surau dihadkan tidak melebihi 20 minit.

“Teks khutbah solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri yang disediakan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK) hendaklah ringkas dan padat dengan masa penyampaian tidak melebihi 10 minit.

“Penyusunan saf dan kedudukan hendaklah mematuhi prosedur yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dan jemaah hendaklah bersurai serta tidak mengadakan sebarang jamuan makan minum di masjid atau surau selepas selesai urusan solat,” katanya.

Beliau berkata, pengerusi jawatankuasa kariah masjid dan surau diri Jumaat wajib memastikan semua syarat dipatuhi dan kebenaran akan ditarik balik bagi yang gagal mematuhinya.

Shahrul Azam berkata, arahan dan ketetapan itu hendaklah terpakai dan berkuat kuasa serta-merta sehingga pihaknya mengeluarkan arahan baharu.

PKPB: Johor benarkan solat Jumaat dan solat Aidilfitri dengan syarat

Tosrin (gambar) berkata hanya Imam Satu, Imam Dua, Bilal, Noja dan 8 anggota jawatankuasa masjid atau surau yang dibenarkan melaksanakan solat Jumaat bermula Jumaat ini.

Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) membenarkan pelaksanaan solat Jumaat dan solat sunat hari raya Aidilfitri sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Namun ia hanya dihadkan kepada 12 orang jemaah bagi satu-satu masjid.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi berkata 12 orang itu ialah Imam Satu, Imam Dua, Bilal, Noja dan 8 anggota jawatankuasa masjid atau surau yang dibenarkan melaksanakan solat Jumaat bermula Jumaat ini.

Mereka juga perlu mematuhi garis panduan yang disediakan JAINJ dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk pemeriksaan kesihatan dan penjarakan sosial.

Katanya pemantauan akan dilakukan anggota keselamatan bagi memastikan jumlah yang dihadkan dipatuhi.

“Pihak jawatankuasa di peringkat daerah akan memastikan ada pengawasan rapi, kita bimbang bila dibenarkan solat sunat Aidilfitri walaupun dihadkan 12 orang kita bimbang penduduk tempatan akan meluru ke masjid.

“Ini kita akan pastikan tidak berlaku. Jika berlaku juga, solat sunat (Aidilfitri) pada hari berkenaan tidak akan dilakukan di masjid berkenaan,” katanya pada sidang media di Pusat Islam Iskandar, di sini hari ini.

Jelas Tosrin lagi, ahli qariah lain hendaklah menunaikan solat fardu Zohor di rumah masing-masing bagi menggantikan solat Jumaat.

Dalam pada itu, JAINJ turut membenarkan majlis akad nikah dilaksanakan sepanjang PKPB bermula Ahad ini.

Dengan garis panduan yang disediakan JAINJ dan KKM termasuk bernikah hanya di pejabat kadi daerah dan hanya 6 orang sahaa dibenarkan sepanjang majlis akad berlangsung.

Iaitu pengantin lelaki, pengantin perempuan, wali, dua saksi dari JAINJ atau MAINJ dan juru nikah.

Bagaimanapun tidak dibenarkan melangsungkan kenduri kahwin.

HMETRO ONLINE / ASTRO AWANI

Apa Kata Anda? Dah Baca Jangan Lupa Komen Yang Baik-Baik Sahaja Dan Jangan Lupa Share Ya. Terima Kasih

PERHATIAN: Pihak Kualalumpur Viral  tidak akan bertanggungjawab Iangsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak Kualalumpur Viral juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*