Bos Mydin Mahu Gaji Penjawat Awam Dipotong, Turut Pikul Beban Gara-Gara Covid-19

PETALING JAYA – Taikun sektor runcit terkenal mempersoalkan bagaimanakah penurunan cukai dan kejatuhan harga eksport komoditi utama akan membolehkan Putrajaya mengekalkan gaji penjawat awam.

Ini tidak seperti sektor swasta yang mengumumkan potongan gaji dan pembuangan pekerja susulan kesan kewangan akibat krisis Covid-19 yang sedang berlaku.

Pengarah urusan rangkaian pasar raya besar Mydin, Ameer Ali Mydin berkata, hasil kerajaan akan terkesan bukan sahaja kerana kejatuhan harga eksport seperti minyak mentah dan minyak sawit, tetapi juga kemerosotan kutipan pelbagai cukai, termasuk cukai jualan dan perkhidmatan (SST) berikutan penutupan perniagaan dan berkurangnya perbelanjaan pengguna.

“Syarikat perniagaan terhimpit dan semua orang dalam sektor swasta menghadapi potongan gaji, termasuk mereka yang bekerja sendiri. Kita semua terkesan,” kata Ameer kepada FMT.

Beliau berkata, syarikatnya membuat potongan gaji kakitangan sehingga 50% dan menghentikan bayaran kepada pengarah atasan.

“Kami tidak ada pilihan. Sama ada terima potongan gaji atau gulung tikar,” katanya.

Beliau berkata, banyak industri terpaksa mengambil langkah drastik, termasuk memberhentikan kakitangan mereka.

Bagaimanapun katanya, keadaan ini tidak berlaku dalam kalangan 1.6 juta penjawat awam walaupun anggota Kabinet membuat potongan gaji dua bulan seperti diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

“Menteri dan timbalan menteri menerima potongan gaji. Sesetengah menteri besar dan anggota mereka juga berbuat demikian. Itu bagus.

“Tetapi sebilangan pegawai tinggi kerajaan masih mendapat gaji penuh, termasuk ahli Parlimen dan Adun. Mereka yang berpendapatan RM3,000 ke atas patut menerima potongan gaji,” kata Ameer.

Beliau berkata, gaji penjawat awam juga patut dikurangkan, selain menambah bahawa penjimatan itu boleh digunakan bagi membantu golongan miskin yang paling terkesan oleh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Ameer berkata, potongan gaji penjawat awam boleh dibuat berdasarkan peringkat gaji mereka.

Beliau juga berkata, selain pinjaman perumahan yang diambil oleh penjawat awam melalui Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), semua pinjaman bank lain diberikan moratorium.

“Tiada moratorium diberikan ke atas pinjaman LPPSA kerana penjawat awam mendapat gaji penuh. Jika mereka menerima potongan gaji maka tentulah harus diberikan moratorium ke atas pinjaman LPPSA.

“Semua orang harus memikul beban ini,” katanya.

Freemalaysiatoday

Apa Kata Anda? Dah Baca Jangan Lupa Komen Yang Baik-Baik Sahaja Dan Jangan Lupa Share Ya. Terima Kasih

PERHATIAN: Pihak Kualalumpur Viral  tidak akan bertanggungjawab Iangsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak Kualalumpur Viral juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*