‘Dari Busking Ke Pasar Borong’ – Anak Muda, Warga Tempatan Sanggup Kerja Berat di Pasar Borong Sahut Saranan Kerajaan

KUALA LUMPUR: “Saya bekerja memunggah, mengangkat dan menyusun bekalan sayur di Pasar Borong Kuala Lumpur sejak empat tahun lalu.”

Demikian reaksi seorang anak muda tempatan, Khalil Kesaven Hasan, 19, ketika ditanya mengenai persepsi segelintir pihak kononnya golongan belia negara ini enggan bekerja di pasar borong yang dikaitkan dengan bau busuk, kotor dan kerja berat.

Khalil berkata, beliau lazimnya bekerja lebih 12 jam sehari dengan bayaran hingga RM180 untuk tempoh itu di pasar berkenaan.

“Selalunya, saya akan datang ke pasar ini pada jam 7 pagi dan bekerja mengangkut barang untuk seorang tauke hingga jam 12 tengah hari.

“Selepas itu, saya akan pergi mencari tauke lain untuk bekerja hingga petang. Malam, saya akan bekerja dengan tauke lain pula. Saya sudah lama kenal dengan semua tauke itu.

“Ketika baru bekerja dulu, saya pun berasa sangat penat dan hampir berputus asa. Namun memikirkan untuk mencari sesuap nasi, saya teruskan juga. Lama-kelamaan, saya seronok kerja mengangkut barang ini.

“Selalunya, tauke akan memberikan saya berehat satu atau dua hari seminggu. Bapa saya pun kerja di sini. Beliau yang menyarankan supaya saya mencari rezeki di pasar borong. Tiada kerja mudah dalam dunia ini,” katanya ketika ditemui BH di pasar itu, di sini, malam tadi.

Seorang lagi pekerja tempatan, K Thinesh, 24, berkata beliau bekerja di pasar borong itu sejak beberapa hari lalu selepas hilang sumber pendapatan sebagai pelayan bar di Singapura.

“Semua sedia maklum bahawa banyak negara, termasuk Singapura, melaksanakan perintah berkurung akibat COVID-19. Antara yang terkesan ialah perniagaan bar dan saya turut hilang pekerjaan.

“Selepas saya pulang ke Kuala Lumpur, ada kawan memaklumkan bahawa ada banyak kerja kosong di pasar ini susulan pihak berkuasa membuat operasi menahan warga asing.

“Selepas sesi temu duga, saya diterima sebagai pekerja. Setakat ini, tiada masalah yang timbul. Kerja berat itu pun saya anggap sebagai senaman,” katanya.

Sementara itu, seorang penjaga pasar terbabit, Sheng Thi, 60, yakin pasar berkenaan akan kembali dibanjiri pekerja tempatan, terutama anak muda dalam masa terdekat.

“Saya sudah bekerja sebagai penjaga pasar ini sejak 25 tahun lalu. Ketika mula-mula dibuka, pasar ini memang dikhaskan untuk peniaga dan pekerja tempatan sahaja.

“Namun, lama-kelamaan ada peniaga tempatan mula mengambil kesempatan mengupah pekerja asing kerana bayar gaji murah.

“Saya yakin zaman kegemilangan akan kembali, tidak lagi timbul isu pasar borong dikuasai warga asing. Sebaliknya, pasar borong ini adalah ‘milik’ rakyat Malaysia,” katanya.

Dari busking ke pasar borong

DALAM pada itu, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, saya hilang mata pencarian selepas tidak dapat ‘busking’ dan sebab itu, hari ini saya datang ke Pasar Borong Kuala Lumpur untuk ditemuduga kerja,” kata pemuzik jalanan, Aznan Aziz, 60.

Aznan berkata, menyedari sukar mendapat pekerjaan menyebabkan dia tidak memilih kerja asalkan dapat meneruskan kehidupan.

“Selain itu saya ingin menyahut seruan kerajaan yang mahu warga tempatan mengambil peluang bekerja di sini.

“Kita mesti tunjuk keupayaan orang tempatan boleh lakukan pekerjaan ini tambahan tawaran gaji juga agak bagus untuk lapan jam kerja,” katanya ketika ditemui pada proses temuduga kerja di pejabat Konsortium Pasar Borong Kuala Lumpur, hari ini.

Anak muda Mohd Shahizwan Abdul Hamid, 27, pula berkata, selepas dua bulan tidak bekerja kerana PKP dia nekad mencari pekerjaan lain dan datang ke sini untuk ditemuduga.

“Ada tiga bahagian di sini iaitu buah, sayur dan ikan. Ikut pada kita hendak kerja di bahagian mana.

“Saya cari kerja lain di sini, kerana tempat kerja sebelum ini di Petaling Jaya tidak beroperasi,” katanya.

Sementara itu, pesara, S George, 56, berkata, walaupun sudah bersara namun dia masih sihat dan dia memilih bekerja di Pasar Borong Kuala Lumpur sebagai sumbangan kepada negara.

“Bosan duduk di rumah, jadi saya datang untuk bekerja di sini bagi membantu negara yang ingin pekerja tempatan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengurus Kanan Konsortium Pasar Borong, Hamzah Dolmat Azhari berkata, pihaknya sudah menerima arahan supaya tidak membenarkan warga asing bekerja.

“Hari ini seramai 50 warga tempatan datang untuk ditemuduga dan saya membawa mereka melihat sendiri cara kerja di sini.

“Dalam masa tiga ke empat hari mereka yang terpilih akan dapat terus bekerja kerana kekosongan itu sudah ada,” katanya.

Hamzah berkata, tawaran gaji paling rendah ialah RM80 sehari dan kebajikan mereka juga dijaga menerusi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Selepas ini mereka yang hanya ada pas dan beruniform saja dibenarkan bekerja di pasar ini,” katanya.

Seorang pekerja tempatan, Suresh, 26, berkata, sudah tiga minggu dia bekerja dan amat berpuas hati kerana tawaran gaji agak lumayan.

“Purata gaji sehari antara RM150 hingga RM180 bermula 3 pagi hingga 9 pagi dan selebihnya akan dikira kerja lebih masa dan dibayar lagi,” katanya.

Harian Metro, Cempedak Cheese, Hiburan Netizen

Apa Kata Anda? Dah Baca Jangan Lupa Komen Yang Baik-Baik Sahaja Dan Jangan Lupa Share Ya. Terima Kasih

PERHATIAN: Pihak Kualalumpur Viral  tidak akan bertanggungjawab Iangsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak Kualalumpur Viral juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*