Datuk Saudara Adib Menceritakan Gurauan Terakhir Yang Betul Betul Mengusik Jiwa Mereka

“ADIB pernah bergurau, kalau berlaku kemalangan ketika majlis bertandang ke rumah bakal isterinya nanti, dia sendiri akan bantu memotong kenderaan untuk menyelamatkan kami sebab dia anggota bomba,” kata Mohd Shukur Othman, 53.

Mohd Shukur adalah datuk saudara Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang meninggal dunia malam tadi akibat cedera parah akibat dipukul ketika berlaku kekecohan di kuil Maha Mariamman USJ/25 Subang Jaya, Selangor bulan lalu.

Menurut Mohd Shukur, mereka hanya mengetahui Muhammad Adib sudah meninggal ketika baru selesai membaca Yasin kira-kira jam 10 malam tadi.

Katanya, dia sempat menemani anak saudaranya itu selama seminggu ketika dia berada di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur yang ketika itu Allahyarham sempat memberi tindak balas.

“Arwah menulis di papan hitam yang dia hendak balik ke kampung dan tulis tanya mana mak? Sebab waktu itu dia tidak dapat bercakap disebabkan banyak wayar di badannya selain keadaannya yang agak lemah.

“Saya tak sangka perkara ini akan terjadi malah kami sekeluarga tidak putus berdoa dengan mengadakan majlis bacaan Yasin dan solat Hajat supaya dia kembali pulih namun dia pergi jua akhirnya,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga Allahyarham di Kampung Tebengau, Jalan Kuala Kedah.

BARU BELI KERETA

Ahli keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim menunjukkan kereta Perodua Myvi yang baru dibeli arwah yang ditinggalkan di rumahnya di Kampung Tebengau

Mohd Shukur berkata, persiapan untuk majlis perkahwinan Muhammad Adib yang dijadual berlangsung Ahad ini sudah dilakukan hampir 80 peratus namun segala-galanya bertukar menjadi kenduri tahlil.

Katanya, Allahyarham seorang pendiam dan sangat baik dalam keluarga malah ketika dia pulang ke kampung bulan lalu, dia banyak menghabiskan masa memancing dan berjalan di keliling kampung.

“Dia juga baru membeli sebuah Perodua Myvi dua bulan lalu yang ditinggalkan di sini untuk memudahkan mereka bertandang ke rumah bakal isterinya ketika majlis perkahwinannya nanti,” katanya.

Sepupu mangsa, Amirul Ameer Azmi, 23, berkata, arwah tidak nampak sangat perubahan ketika pulang ke kampung baru-baru ini tetapi dia banyak bertanyakan saya mengenai bomba.

Katanya, kebetulan dia juga baru bertugas sebagai Pegawai Bomba Bantuan (PBB) di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan dan Allahyarham banyak bertanyakan mengenai hal kerjanya.

“Kami membesar bersama sejak kecil dan saya sedih dengan apa yang berlaku kerana arwah seorang yang sangat baik,” katanya.

Jenazah Muhammad Adib dijangka tiba di rumahnya di Kampung Tebengau jam 9 pagi ini dan akan di sembahyangkan di Masjid As Saadah, Kuala Tebengau sebelum dikebumikan hari ini

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*