Dia Bersyukur Selepas Dia Insaf Bukan Sahaja Dia Pulih Malah Dia Berjaya Sebagai Usahawan.

“CUKUPLAH empat tahun saya menjadi hamba dadah. Mujurlah sinar keinsafan itu hadir membuatkan saya kembali ke pangkal jalan,” kata Mohd Nordin Ibrahim, 61, antara ikon Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang berjaya pulih daripada masalah ketagihan dadah.

Mohd Nordin yang lebih mesra disapa Pok Din wajar dijadikan contoh apabila dia kini menjadi antara usahawan berjaya dengan perniagaan Warung Nasi Kerabu Pok Din di Gong Datuk, Kuala Nerus, Kuala Terengganu.

Ketika menceritakan pengalamannya, Pok Din berkata, dia mula terbabit dalam penyalahgunaan dadah ketika berada di Tingkatan Empat kerana terpengaruh dengan rakan sehingga tidak dapat memberi tumpuan kepada pelajaran.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana dikurniakan daya ingatan yang tinggi. Walaupun tidak cemerlang, saya dapat menamatkan pelajaran, walaupun tidak mendapat sijil penuh.

“Saya bermula dengan ganja, ubat batuk dan heroin dengan kawasan ladang menjadi port (sarang) untuk aktiviti berkenaan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Semurni Kasih Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) di Kuala terengganu, semalam.

Pada majlis itu, Pok Din menerima Anugerah Kepulihan Klien yang disampaikan sendiri Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah.

Sebelum ini, usaha Pok Din dalam membantu golongan penagih turut mendapat perhatian AADK, selain pernah mendapat Anugerah Emas Kepulihan 2015 di Kuala Lumpur.

Menurut Pok Din, dia yang juga Timbalan Pengerusi Baitul Sa’adah mengambil keputusan menyertai askar wataniah ketika berusia 20 tahun bagi mengubah masa depan.

“Susah sebenarnya nak berhenti, tetapi saya nekad dan ketika berada di dalam askar, hidup saya lebih teratur dan ia banyak membentuk saya menjadi lebih baik.

“Ketika itu, saya mula terfikir kerja dan masa depan menyebabkan saya berusaha keras untuk memperbaiki diri.

“Hampir 90 peratus kawan saya berjaya meninggalkan najis dadah. Ada yang jadi pengurus dan pegawai tentera. Saya sendiri menjadi penyelia KEMAS (Jabatan Kemajuan Masyarakat) di Kelantan sebelum membuka perniagaan kedai makan,” katanya yang mempunyai tujuh anak.

Katanya, dia kini aktif membantu dalam usaha pemulihan penagih dadah, termasuk mengambil pekerja dalam kalangan penagih dadah.

“Ramai yang pulih daripada dadah tetapi tidak mahu menonjol, namun saya pilih sebaliknya kerana mahu menjadi contoh. Nasihat saya kepada generasi baharu, jangan sesekali mencubanya,” katanya.

Sumber Artikel : Harian Metro

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*