Eva Menyusu Badan, Tetapi Dia Seperti Tidak Kenyang Menyebabkannya Kerap Menangis. Ibu Ini Meminta Bantuan Untuk Anaknya

Ampang: Suri rumah, Justina Jewan, 31, memerlukan bantuan RM80,000 bagi menampung kos pembedahan jantung bayinya, Alzriannalyn Eva Alimin yang berusia tujuh bulan.

Kata Justina yang berasal dari Kota Marudu, Sabah, suaminya yang bekerja sebagai penoreh tidak mampu membiayai kos pembedahan anak bongsu daripada tiga beradik itu.

Pendapatan suami tidak seberapa

“Kami ada dua lagi anak berusia tiga tahun dan tujuh tahun. Pendapatan suami tidak seberapa. Oleh itu, kami memerlukan sumbangan orang ramai untuk selamatkan Eva.

“Eva dikesan menghidap masalah jantung dua bulan lalu selepas berdepan masalah pernafasan selain jantungnya berdenyut laju.

“Selepas tiga kali rawatan di klinik dan hospital di Kota Kinabalu, kami dimaklumkan dia menghidapi masalah jantung kritikal. Pihak hospital terus merujuk Eva kepada pusat perubatan Gleneagles Kuala Lumpur,” katanya.

Menurut Justina, dia dan bayinya tiba di sini minggu lalu dan Eva memerlukan pembedahan segera.

SUAMI TINGGAL UNTUK JAGA 2 LAGI ANAK

“Hanya saya dan Eva ke Kuala Lumpur kerana kami tidak mampu menyediakan tambang penerbangan untuk suami selain dia perlu menjaga dua lagi anak di rumah,” katanya di Hospital Gleaneagles, semalam.

“Saya berterima kasih kepada pihak yang sudi membantu. Saya dan suami tidak sanggup melihat Eva menangis.

“Eva menyusu badan, tetapi dia seperti tidak kenyang menyebabkannya kerap menangis,” katanya.

Sumbangan bagi kos pembedahan jantung Eva boleh disalurkan kepada Media Prima-NSTP Humanitarian Fund menerusi akaun Maybank 5141-0532-3170.

Ia juga boleh melalui cek dengan menulis nama pesakit di belakang cek berkenaan dan dihantar ke Media Prima Bhd, Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan, Tingkat 3, Anjung Liku Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

Sumber Artikel : HMETRO ONLINE

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*