Sebagai Kerajaan, Adalah Hasrat PAS Untuk Menghapuskan Riba Dalam Pinjaman PTPTN

PAS selaku salah satu parti yang membentuk gabungan Perikatan Nasional menyuarakan hasrat agar “unsur riba” dalam bayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) dihapuskan.

Ia dinyatakan Timbalan Mursyidul Am Ahmad Yakob, yang berharap peminjam hanya membayar jumlah yang dipinjam.

“ Kalau dulu semasa PH kempen dulu, dalam manifestonya mahu agar hutang PTPTN dihapuskan semua. Bagi saya kalau dihapuskan riba pun cukup dah.

“ Kerajaan yang ada hari ini, kalau boleh diselesaikan tanpa riba pun cukup dah. Pinjaman balik sebagaimana pinjaman biasa tanpa riba.

“ Jangan kita kecualikan (bayaran) sebab itu pinjaman. Apabila pinjam wajib kena bayar, tanpa riba,” katanya kepada media selepas mesyuarat lembaga pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK), di Kota Bharu, hari ini.

Ahmad yang juga menteri besar Kelantan berkata demikian ketika ditanya berkenaan harapan terhadap kabinet baru kerajaan persekutuan yang diketuai Muhyiddin.

Buat masa ini, selain caj pengurusan, peminjam PTPTN dikenakan kadar faedah tiga peratus. Bagaimanapun peminjam boleh bertukar kepada sistem ujrah yang mengenakan kadar satu peratus.

Untuk rekod, PH dalam manifesto PRU tidak menjanjikan penghapusan hutang PTPTN secara menyeluruh. Menurut Buku Harapan, ia berhasrat menangguhkan pembayaran balik kepada peminjam yang berpendapatan kurang RM4,000 sebulan – yang belum dilaksanakan – dan memansuhkan senarai hitam kepada peminjam yang tidak membayarnya.

Menurut Buku Harapan, diskaun yang setimpal atau pelupusan hutang secara keseluruhan hanya diberi kepada pelajar cemerlang atau peminjam dari keluarga berpendapatan rendah.

Sebaliknya Gagasan Sejahtera – gabungan sejumlah parti politik dan NGO yang diketuai PAS – memasukkan penghapusan hutang PTPTN sebagai antara janji PRU lalu.

Ditanya mengenai pelaksanaan manifesto PAS pada PRU lalu selepas menyertai kerajaan, naib presidennya Mohd Amar Nik Abdullah berkata ia bukan kerajaan PAS sepenuhnya, dan parti itu sebahagian kecil yang menyokong pembentukan kerajaan Perikatan Nasional.

“ Kena ingat, manifesto itu kalau kita jadi kerajaan (sendiri), sekarang ini bukan kerajaan PAS tetapi kerajaan Perikatan Nasional.

“ Kalau PH itu mereka sekumpulan yang menang dengan manifesto yang dijanjikan.

“ Kita hanya sebahagian kecil, jadi bagaimana kita nak laksanakan semua? Lainlah (jika) ini kerajaan kita atau kita menguasai sebahagian besar kerajaan,” katanya lagi.

Apa Kata Anda? Dah Baca Jangan Lupa Komen Yang Baik-Baik Sahaja Dan Jangan Lupa Share Ya. Terima Kasih

Sumber: Malaysia KINI

PERHATIAN: Pihak Kualalumpur Viral  tidak akan bertanggungjawab Iangsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak Kualalumpur Viral juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*