Ini Kata-Kata KJ Selepas Melihat Tokoh Kehakiman Negara Menari Pada Majlis Makan Malam Gala Yang Tular Baru-baru Ini

CAMERON HIGHLANDS: Tiada sebarang masalah untuk beberapa tokoh kehakiman berada dalam satu majlis, namun haruslah mengelak kelakuan yang boleh mengundang spekulasi negatif dalam kalangan rakyat.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, berkata masyarakat tidak seharusnya bersikap terlalu jumud sehingga mengatakan tidak boleh ada tarian di majlis keraian.

“Kita pun biasa dalam UMNO ada majlis tarian dan sebagainya, janji ia tak melampaui batas. Jangan kita jumud sangat kata tak boleh ada tarian di majlis-majlis terutamanya yang meraikan sesuatu.

“Bagi saya kalau Ketua Hakim Negara ada, Peguam Negara ada, Menteri Undang-undang ada, tak ada masalah untuk berada dalam satu majlis tapi kita elaklah apa-apa tindakan yang boleh mengundang spekulasi negatif,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan kempen di Kampung Orang Asli Sungai Ruil, Golden Hill, di sini hari ini.

Sebuah video memaparkan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum; Peguam Negara, Tommy Thomas dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong dalam suatu majlis tersebar di media sosial.

Video tarian membabitkan Tommy, Richard, Vui Keong bersama beberapa peguam dan aktivis seperti Datuk S Ambiga dan Siti Zabedah Kassim (Siti Kassim) menimbulkan kebimbangan netizen berkaitan ketelusan sistem kehakiman.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, tarian itu tidak menimbulkan isu moral sebaliknya lebih kepada kritikan seolah-olah pemisahan kuasa tak dihormati kerana semua mereka berinteraksi secara sosial.

“Itu sahaja… jadi bagi saya bukanlah soal moral tetapi lebih kepada soal pemisahan kuasa dan mereka (pun) sudah jawab hanya satu lagu dan sebagainya.

“Tapi dulu kita (BN menari) kena hentam jadi tak apalah kalau rakyat nak tegur terima sahajalah,”

Sebelum ini pada 2016 kerajaan hari ini yang menjadi pembangkang ketika itu turut mempersoalkan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali menari bersama beberapa menteri BN dalam majlis sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka.

Sumber : Berita Harian

Terdahulu…

Ketua Hakim, Peguam Negara bolehlah letak jawatan

KETUA Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum dan Peguam Negara, Tommy Thomas perlu meletak jawatan secara sukarela atas tindakan yang dilihat tidak profesional selepas insiden mereka menari pada Majlis Makan Malam Gala Pengamal Undang-undang 2019 (OLY 2019) tersebar di media sosial.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata, orang ramai sama sekali tidak mempersoalkan hak individu untuk menari tetapi apa yang dipersoalkan adalah siapa individu yang menari dalam video itu.

“Memang kita tak persoalkan hak untuk menari tapi yang kita persoalkan adalah siapa yang menari itu, kalau hak menari kita pun boleh menari, siapa-siapa pun boleh menari.

“Tapi jika yang menari itu Peguam Negara, Ketua Hakim Negara dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menjaga Undang-Undang (Datuk VK Liew) dan mereka boleh dianggap sebagai mempunyai kepentingan dan ada waktu tertentu mereka berkepentingan, misalnya Peguam Negara akan membawa kes ke mahkamah dan dia mengetuai kes, jadi ia akan menimbulkan persepsi yang tidak baik,” katanya kepada media selepas berkempen di Pasar Pagi Brinchang, Cameron Highlands hari ini.

Ismail Sabri berkata, walaupun hakim boleh membuat keputusan secara profesional, namun persepsi masyarakat selepas adegan menari itu akan menjadi sebaliknya dan memberikan gambaran buruk terhadap badan kehakiman.

Katanya, ini kerana sebagai orang yang berkepentingan mereka perlu menghindari persepsi yang buruk daripada masyarakat.

Katanya, kerajaan BN sendiri tumbang disebabkan oleh persepsi buruk yang selalu dimainkan dan digembar-gemburkan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, jadi perkara yang membabitkan persepsi terhadap kerajaan tidak seharusnya berlaku.

“Nanti orang akan nampak dan kata, ehh kalau macam ni kita bolehlah `kawtim’, itu pandangan daripada orang ramai. Kalau bawa kes ke mahkamah mungkin mudahlah nak menang atau ikut apa yang Peguam Negara nak, itu hanya anggapan dan persepsi walaupun perkara sebenarnya tidak mungkin berlaku, tetapi kena ingat negara pun boleh tumbang disebabkan persepsi dan kerajaan BN dahulu pun tumbang disebabkan persepsi,” katanya.

Beliau berkata, sebab itulah apa yang berlaku membabitkan Ketua Hakim Negara, Peguam Negara dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga undang-undang adalah sesuatu yang sangat tidak wajar lebih-lebih lagi kerana ia membabitkan etika kehakiman.

Justeru katanya, pihak yang berkenaan perlu memohon maaf kepada rakyat dan memastikan insiden sedemikian tidak lagi berulang.

“Kalau dulu kita nak jumpa hakim pun punyalah susah, apatah lagi untuk keluar minum kopi dengan hakim kerana satu ketika dulu hakim dilihat sebagai sangat eksklusif kerana hakim tidak mahu dilihat sebagai mempunyai hubungan di luar yang mungkin akan mempengaruhi keputusan.

“Hakim bukan malaikat, hakim adalah manusia yang kadang-kadang boleh dipengaruhi oleh persekitaran, persahabatan, hubungan baik dan sebagainya,” katanya.

Sebuah video yang memaparkan Ketua Hakim Negara, Peguam Negara dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berjoget ‘twist’ dalam satu majlis tersebar di media sosial semalam yang turut membabitkan aktivis antaranya S Ambiga dan Siti Zabedah Kassim menimbulkan kebimbangan netizen berkaitan ketelusan sistem kehakiman.

Sumber : Harian Metro

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*