Inilah Yang Dinamakan Cinta Sejati. Dia Bersyukur Kerana Isteri Terima Dia Seadanya Walaupun Tidak Sempurna.

KEHIDUPAN Sukur Ibrahim, 35, dan isterinya, Wan Nurul Syazwani Mohd Yen, 32, sentiasa mencuri tumpuan. Biarpun kerap kali dikatakan sebagai bukan pasangan ideal, kedua-duanya membuktikan rupa paras dan ukuran fizikal bukanlah faktor utama untuk mengecapi kebahagiaan, sebaliknya apa yang mereka miliki hari ini adalah berlandaskan keikhlasan dan juga kejujuran.

Bagi Sukur, dia berterima kasih kepada Wan Nurul Syazwani (Nurul) kerana sanggup menerima dirinya seadanya biarpun kekurangannya sangat ketara manakala bagi Nurul pula, Sukur adalah lelaki istimewa di hatinya lantaran sikap dan juga jati diri yang ada pada lelaki itu membuatkan dia bersedia menjadi suri hati lelaki itu.

Menebarkan kisah percintaan mereka berdua. Hampir tiga tahun setengah melayari bahtera perkahwinan, Sukur mengakui mereka sama seperti pasangan lain yang melalui asam garam dan pahit manis alam rumah tangga. Namun sebagai ketua keluarga, Sukur banyak memainkan peranan meredakan emosi si isteri seandainya ada perbalahan sesama mereka.

“Sebagai suami saya bersikap lebih tenang, rileks dan sentiasa berfikiran rasional. Berbeza dengan wanita kerana mereka lebih beremosi. Oleh kerana kami mempunyai sikap berbeza, jadi kami saling lengkap-melengkapi di antara satu sama lain.

“Lagi pun sepanjang 10 tahun perkenalan, saya dan Nurul sudah melalui tempoh yang sukar. Terpaksa menempuh pelbagai cabaran lantaran perkahwinan tidak direstui keluarga. Namun akhirnya berkat kesabaran dan juga kesungguhan yang kami tunjukkan, ibu bapa Nurul bersetuju menerima saya sebagai menantu mereka,” katanya.

Lebih menceriakan kehidupan pasangan ini apabila mereka dikurniakan cahaya mata pertama, Anas Wafiy yang kini berusia setahun sebulan. Biarpun ada yang bimbang apabila mengetahui Nurul mengandung kerana dikhuatiri anak yang bakal lahir tidak sempurna, pasangan ini sentiasa positif dan menerima apa sahaja pemberian Tuhan dengan hati terbuka.

“Sebenarnya ini kandungan kedua Nurul selepas dia keguguran kerana terlalu aktif dan lasak. Apabila disahkan hamil kali kedua, saya meminta Nurul berehat dan tidak melakukan sebarang kerja.

“Sepanjang kehamilan, Nurul sering ditanya mengenai kesihatan ja nin, adakah ia sempurna atau sebaliknya. Namun kami tidak cepat melatah biarpun ada juga rasa bimbang di hati. Sebagai individu yang arif mengenai nutrisi, Nurul sentiasa mendapatkan nasihat doktor dan menjaga pemakanannya. Dia mengambil menu berkhasiat dan makanan tambahan yang disyorkan doktor.

“Selepas membuat imbasan secara teliti, Alhamdulillah semuanya sihat dan sempurna dan ia menepis kata-kata orang ramai mengenai keadaan fizikal anak kami yang dikatakan cacat atau kurang sempurna,” kata Sukur.

Kini Anas menjadi penyeri dalam keluarga kecil pasangan ini. Sebaik sahaja Anas dilahirkan, Nurul yang bertindak sebagai pembantu peribadi Sukur melepaskan jawatannya kerana ingin memberikan sepenuh perhatian kepada anak mereka. Keletah Anas yang semakin bijak membuatkan mereka tidak mampu menahan sebak dengan rezeki yang Allah berikan.

“Saya sangat bersyukur kerana dikurniakan cahaya mata dalam waktu yang singkat. Ada ramai lagi pasangan yang sudah lama berkahwin namun belum ada anak. Alhamdulillah dengan rezeki yang Allah berikan kepada kami,” kata Sukur dalam nada terharu.

Setakat ini isteri mula mendedahkan Anas dengan pengajaran secara tidak formal. Pada usia dua tahun nanti, Anas akan dihantar ke sekolah bagi membolehkan dia bergaul dengan kanak-kanak seusianya.

“Saya mahu membesarkan Anas seperti ayah mendidik saya. Menerapkan semangat jati diri dan keyakinan yang tinggi serta tidak mudah menyerah kalah. Paling penting perlu yakin dan mampu berdikari biarpun berjauhan dengan keluarga,” katanya.

AYAH SUMBER INSPIRASI

SUKUR bersama bapanya, Ibrahim dan ibunya, Aisyah sambil diapit isteri, Wan Nurul Syazwani dan anak mereka.

Ramai berkata lelaki bernama Sukur Ibrahim adalah insan bertuah kerana biarpun berketinggian 100 sentimeter dan mempunyai kekurangan pada kedua-dua kaki dan tangan, dia dikelilingi insan hebat yang sentiasa menjadi pencetus semangat untuk berjaya. Jika tidak, mana mungkin Sukur mampu berada pada tahap sekarang bergelar usahawan, penceramah dan juga penulis buku motivasi.

Malah biarpun tergolong dalam orang kurang upaya (OKU), dia mampu membina kebahagiaan sendiri bersama isteri tercinta. Ketika ditanya dari mana kekuatan itu datang, pantas dia mengakui bapanya, Ibrahim Samad, 68, adalah insan hebat yang membentuk dirinya menjadi seperti hari ini.

Dilahirkan di Muar, Johor pada 1984, anak keempat daripada enam beradik ini pada mulanya sukar menerima keadaan dirinya yang kerdil. Apabila tetamu berkunjung ke rumah, Sukur pasti melarikan diri dan bersembunyi di dalam bilik.

“Jika mereka mencari saya di dalam bilik, saya akan menyorok di bawah katil dan jika mereka memeriksa bawah katil, saya akan bersembunyi di dalam kotak. Pandangan jelik rakan-rakan menyebabkan saya menjadi sangat pemalu dan tidak mahu bergaul dengan orang lain,” katanya membuka cerita.

Namun detik perubahan bagi Sukur apabila ayah membawanya ke program pemulihan komuniti yang dikendalikan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Di situ dia menyedari ada orang yang keadaannya lebih teruk sehingga mereka perlu bergantung pada orang lain.

“Saya perhatikan kaki saya mungkin nampak pendek, namun saya boleh berjalan dan naik turun tangga sedangkan ada orang yang tidak mampu berjalan langsung. Saya pula mampu mengurus diri, ada otak yang membolehkan saya berfikir dan ada lima deria yang berfungsi dengan elok,” katanya.

Sejak itu Sukur mula belajar bersyukur dan menerima dirinya seadanya. Paling penting apabila ayahnya sangat optimis dan banyak membantu untuk menjadi lebih yakin. Sebagai bekas tentera, jati diri yang ada pada diri ayahnya mengalir di dalam tubuhnya.

“Ayah sangat kuat semangat. Jika dia melakukan sesuatu, dia akan buat sampai jadi. Inilah prinsip yang saya pegang sehingga ke hari ini. Saya praktikkan dalam perniagaan pemasangan permaidani di Dstrike Solution. Walaupun ia perniagaan keempat, saya tidak pernah berputus asa untuk melihat penat lelah saya membangunkan perniagaan bersama isteri menemui kejayaan,” katanya.

Tambah Sukur lagi, ayahnya tidak pernah gagal walau sesaat untuk memberikan sokongan sejak dia dilahirkan sehinggalah sekarang. Sejak kecil Sukur diberikan semangat untuk berhadapan orang ramai, tidak malu membuat persembahan sama ada lakonan atau nyanyian dalam acara tertentu di sekolah.

Di sekolah pula ayah akan pastikan Sukur sentiasa mendapat tempat pertama di dalam kelas. Dia akan memberikan kata-kata semangat dan sentiasa bertanya mengenai pelajaran di sekolah.

“Saya sentiasa berpegang kepada kata-kata ini – untuk bahagia bukan kerana kita banyak memiliki tetapi kerana kita tidak membandingkan apa yang kita ada dengan orang lain. Berbahagialah dengan cara kita sendiri,” katanya mengakhiri perbualan.

“Hati saya amat tersentuh melihat pengorbanan ibu dan ayah. Mereka tidak pernah mengalah memberi dorongan sehingga saya berjaya menggenggam segulung ijazah dalam bidang teknologi maklumat. Niat saya cuma satu ingin menjadi orang berjaya dan membalas jasa mereka. Jika ada anugerah untuk bapa mithali, memang saya dedikasikannya khas buat ayah,” kata Sukur terharu.

Sempena Hari Bapa yang disambut, semalam, Sukur menyeru kepada semua lelaki untuk menjadi suami dan bapa bertanggungjawab kepada keluarga mereka. Ini kerana sebagai ketua keluarga, apa sahaja perlakuan akan ditiru oleh anak. Jadi, berusahalah untuk menjadi yang terbaik dalam keluarga.

“Kepada golongan OKU pula, untuk menjadi seorang yang hebat, mereka harus menerima dan menyayangi diri sendiri. Walaupun sukar tetapi berusahalah kerana lama-kelamaan anda akan menerima diri sendiri sepenuh hati.

Sumber : HMETRO ONLINE

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*