Isteri Perdana Menteri Dr Siti Hasmah Menangis Bila Melihat Keadaan Adib Dan Ini Apa Beliau Katakan

ISTERI Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang meluangkan masa kira-kira 30 minit melawat Muhammad Adib Mohd Kassim, di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, hari ini menitiskan air mata ketika melihat keadaan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) itu.

Beliau yang tiba pada 9.50 pagi, sempat mendengar penerangan daripada doktor pakar yang merawat Muhammad Adib mengenai keadaan dan perkembangan terkini anggota dari Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya itu.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohamad Hamdan Wahid berkata, Siti Hasmah turut meluangkan masa dengan ahli keluarga Muhammad Adib.

Siti Hasmah Berbual Bersama Keluarga Adib

“Beliau meluangkan masa kira-kira 30 minit mendengar taklimat daripada doktor pakar untuk mengetahui perkembangan terkini berkaitan rawatan dijalankan.

“Tun Dr Siti Hasmah berdoa agar Adib segera sembuh dan berharap pihak keluarga bersabar atas kejadian yang berlaku ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Siti Hasmah disambut Timbalan Pengarah JBPM Kuala Lumpur, Abu Obaidat Mohamad dan wakil pegawai kanan IJN Datuk Dr Ezani Md Taib serta keluarga Muhammad Adib.

Mohamad Hamdan berkata, Siti Hasmah mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak IJN yang bertungkus-lumus merawat Muhammad Adib selain menghargai kakitangan JBPM yang bertugas di IJN kerana menguruskan dan memastikan kebajikan keluarga Muhammad Adib sepanjang tempoh rawatan.

“Pada masa sama, beliau sempat berpesan agar semua anggota bomba supaya berhati-hati dalam menjalankan tugas untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Dalam kejadian 1 pagi Selasa lalu, Muhammad Adib yang pergi ke lokasi bagi memadam kebakaran kereta di luar Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya bersama pasukannya, dilaporkan cedera diserang perusuh.

Dia yang duduk di bahagian penumpang hadapan unit EMRS dikatakan ditarik keluar oleh kumpulan perusuh sebelum dipukul sehingga parah.

Sumber Artikel : HMETRO ONLINE

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*