Kad Jemputan Kahwin Sabtu Ini Separuh Telah Diedar. Ini Komen Tunang Adib Bila Ditanya

PETALING JAYA: Impian keluarga untuk melihat Nurul Najihah Mohd Radzi disatukan dengan Muhammad Adib Mohd Kassim pada Sabtu ini hanya tercatat pada kad jemputan perkahwinan selepas anggota bomba itu menghembus nafas terakhir pada malam Isnin.

Muhammad Adib, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya meninggal dunia selepas bertarung nyawa hampir sebulan akibat cedera parah dipercayai dipukul sekumpulan perusuh kuil Sri Maha Mariamman.

Ibu tunangnya, Haliza Abu Bakar berkata, anak mereka reda dengan kehilangan Muhammad Adib kerana menganggap ia adalah ketentuan Ilahi.

Nurul Najihah dan Muhammad Adib sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada Sabtu ini.

“Saya tak boleh cakap apa lagi tentang keadaan Nurul Najihah, minta maaf ya.

“Sedih tu biasalah, tapi dia reda dengan apa yang terjadi,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.

Ketika ditanya tentang persiapan perkahwinan mereka, Haliza berkata mereka sebelum ini terpaksa menangguhkan tarikh perkahwinan sehingga keadaan Muhammad Adib kembali pulih.

Kad kahwin Muhammad Adib dan Nurul Najihah.

“Ketika Adib di hospital, kami tunggu keputusan daripada pihak keluarga lelaki… dan bersepakat untuk menangguhkannya.

“Kad kahwin baru separuh diedarkan tapi kami dah batalkannya sebab nak tunda ke tarikh lain.

“Semua tempahan (majlis kahwin) juga sudah ditunda. Bila jadi macam ni, tempahan akan dibatalkan. Tak adalah nak buat kenduri apa lagi kan,” jelasnya yang akan ke lokasi pengebumian anggota bomba itu di Kampung Tebengau, Kuala Kedah.

Majlis persandingan pasangan itu untuk sebelah keluarga perempuan sepatutnya berlangsung pada Sabtu ini di Taman Damai, Mentaloon. Alor Setar, Kedah.

Jenazah Allahyarham Muhammad Adib tiba dengan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat yang mendarat di Sekolah Kebangsaan Tebengau, Kuala Kedah pada pukul 10.30 pagi Selasa untuk dikebumikan di kampung halamannya.

Jenazah Muhammad Adib dibawa pulang dengan menaiki helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Adib dan tunangnya berasal dari negeri yang sama.

Dalam kejadian awal pagi 27 November lalu, Muhammad Adib mengalami cedera parah dipercayai dipukul sekumpulan perusuh di hadapan kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Allahyarham ketika itu, menyertai operasi memadam kebakaran di hadapan kuil berkenaan.

Video dikongsi oleh rakan Adib iaitu Azizul Asri yang menyaksikan Allahyarham seorang pemalu.

Sumber Artikel : Mstar Online

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*