Kakitangan MAYBANK Akan Terima Kenaikkan Gaji Dan Ini Adalah Yang Tertinggi Dalam Perbankan Malaysia

KUALA LUMPUR: Anggota kesatuan sekerja pegawai dalaman Maybank akan mendapat pelarasan gaji sebanyak 10 peratus secara menyeluruh, tertakluk kepada gaji maksimum dalam julat gaji masing-masing.

“Pelarasan ini adalah kenaikan tertinggi diberikan kepada pekerja dalam industri perbankan Malaysia,” kata bank terbesar di negara ini dalam kenyataan hari ini.

Pelarasan itu susulan pemeteraian Perjanjian Bersama (CA) baru-baru ini antara Maybank dan kesatuan sekerja dalamannya, Persatuan Pegawai-Pegawai Kelas 1 Maybank (AMCO) dan Persatuan Eksekutif Maybank (AME), bagi tempoh 1 Jan, 2018 – 31 Dis, 2020.

AMCO mewakili pekerja peringkat eksekutif sehingga eksekutif kanan manakala AME mewakili peringkat pegawai rendah.

Selain pelarasan gaji, CA itu juga akan menyaksikan kenaikan sehingga 30 peratus perlindungan insurans bagi kemalangan peribadi dan 25 peratus perlindungan insurans hayat, yang akan meningkatkan sokongan kepada pekerja dan keluarga mereka apabila ditimpa kejadian tidak diingini, serta kenaikan 10 peratus bagi semua elaun kewangan lain, kata Maybank.

Satu faedah baharu diperkenalkan dalam CA iaitu skim cuti keagamaan selama tujuh hari, yang membolehkan pekerja yang layak untuk menunaikan dan memenuhi kewajipan agama mereka menerusi kemudahan tambahan itu.

“Ini juga selaras dengan usaha kerajaan untuk menggalakkan dan memupuk nilai-nilai kerohanian dalam tenaga kerja,” kata bank itu.

Pada majlis itu, turut diumumkan semakan semula faedah pinjaman perumahan staf bagi kakitangan Maybank Malaysia, menerusi pengurangan kadar faedah pinjaman perumahan staf daripada 3.5 peratus kepada dua peratus bagi semua pekerja sedia ada dan pinjaman baharu berkuat kuasa 2019.

Semakan semula itu dibuat untuk memacu pemilikan rumah dan susulan peningkatan harga hartanah, khususnya di bandar-bandar besar, kata Maybank. – BERNAMA

Sumber ArtikelBHARIAN ONLINE

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*