Keluarga Ini Hadapi Detik Cemas Apabila Tiba Tiba Cermin Kereta Mereka Retak Dibaling Sesuatu

KUALA SELANGOR: Tiga sekeluarga menempuh detik menakutkan apabila kenderaan dinaiki dibaling batu oleh individu tidak bertanggungjawab di Jalan Kereta Api Lama berdekatan Bukit Rotan di sini, tengah malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.50 tengah malam itu, mangsa, Ahmad Puad, 52, yang memandu Toyota Vios bersama isteri dan anak perempuannya yang dalam perjalanan pulang ke Kuala Selangor tiba-tiba dibaling batu hingga menyebabkan cermin keretanya pecah.

Difahamkan, dua lagi pemandu kereta lain cedera di muka selepas cermin hadapan kereta pecah akibat perbuatan sama.

Ahmad Puad berkata, ketika kejadian dia sekeluarga dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai urusan kerja di Kuala Lumpur.

“Pada waktu itu, keadaan tenang dan tiada apa yang berlaku sehingga saya keluar dari Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) dan memasuki jalan biasa (Jalan Kereta Api Lama).

“Tidak lama kemudian, saya berselisih dengan sebuah kereta dan terkejut mendengar bunyi letupan kuat selain serpihan batu pada cermin sebelah saya yang hampir pecah,” katanya kepada Harian Metro.

Kata Ahmad, kejadian itu menyebabkan mereka ketakutan namun bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan.

“Mujur kami selamat dalam insiden itu terutama isteri saya yang sedang sarat mengandung lapan bulan.

“Saya tidak tahu apa motif sebenar perbuatan seumpama itu dan berharap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu terbabit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Md Asri A Wahab ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan dan siasatan sedang dijalankan.

Kejadian itu turut tular di media sosial dengan memaklumkan kepada pengguna jalan raya supaya berhati-hati ketika melalui jalan berkenaan.

Difahamkan, dua lelaki dipercayai menaiki kereta dari arah bertentangan bertindak melontar batu ke arah mana-mana kereta di kawasan berkenaan

Sumber ArtikelHMETRO ONLINE

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*